KUALA TERENGGANU, 13 OGOS – Terengganu berpotensi muncul sebagai antara pengeluar ayam terbesar di Pantai Timur menerusi pembangunan industri penternakan ayam berskala besar bernilai kira-kira RM105 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, projek berkenaan merupakan antara pelaburan terbesar dalam sektor pertanian negeri tahun ini dan dijangka membantu meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging ayam Terengganu kepada 100 peratus menjelang 2030.
Katanya, projek itu turut mengoptimumkan penggunaan tanah rizab padang ragut yang sebelum ini kurang dimanfaatkan, selain mewujudkan rantaian pengeluaran ayam dan telur secara bersepadu bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap bekalan dari luar.
“Dengan pelaksanaan projek ini, insya-Allah Terengganu akan muncul sebagai antara pengeluar ayam yang terbesar di Pantai Timur. Pada masa sama, ia memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri kerana pengeluaran tidak lagi hanya bergantung kepada bekalan dari luar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Rizab Padang Ragut untuk Projek Penternakan Ayam antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu dengan CAB Cakaran (Timur) Sdn. Bhd. di Wisma Darul Iman, semalam.
Dr. Azman berkata, projek tersebut melibatkan tiga kawasan iaitu Padang Ragut Damar Minyak, Setiu seluas 101.5 hektar; Padang Ragut Kampung Papan, Dungun seluas 284.7 hektar dan Padang Ragut Cermin Kanan, Dungun seluas 28.43 hektar.
Katanya, fasa pertama di Damar Minyak melibatkan pembinaan 50 reban ayam pedaging dengan kapasiti satu juta ekor bagi setiap pusingan dan disasarkan menghasilkan kira-kira enam juta ekor ayam setahun.
Fasa kedua di Kampung Papan pula membabitkan pembangunan ladang ayam penelur berkapasiti sehingga 1.4 juta ekor yang dijangka menghasilkan kira-kira satu juta biji telur sehari, manakala fasa ketiga di Cermin Kanan melibatkan pembangunan 25 reban ayam baka atau parent stock bagi menyokong program pembiakan.
Menurutnya, antara kekuatan utama projek itu ialah penglibatan CAB Cakaran yang menguasai rantaian industri ayam secara menyeluruh, merangkumi pembiakan baka, pengeluaran makanan ternakan dan operasi ladang.
“Ini satu kelebihan besar kerana mereka bukan sekadar menternak ayam, tetapi menguasai rantaian pengeluaran daripada ladang pembiakan, kilang makanan ternakan hingga ke ladang ternakan.
“Kerajaan negeri amat berbangga kerana pemain antara yang terbesar di Malaysia dalam sektor penternakan dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia memilih untuk melabur di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi moden dalam pengurusan ladang turut diberi perhatian, termasuk sistem yang mampu mengurangkan gangguan bau dan lalat walaupun operasi berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan membantu memudah cara urusan kelulusan dan perancangan pembangunan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
Fasa pertama projek dijangka disiapkan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira dua tahun selepas memperoleh kelulusan berkaitan.
Dalam pada itu, Dr. Azman berkata peningkatan pengeluaran ayam tempatan berpotensi membantu menstabilkan harga melalui keseimbangan antara bekalan dan permintaan.
Katanya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 47 hingga 50 kilogram daging ayam seorang setahun, justeru peningkatan pengeluaran tempatan dijangka dapat memastikan bekalan mencukupi mengikut keperluan pasaran.
Selain memenuhi permintaan dalam negeri, hasil pengeluaran projek itu juga berpotensi dipasarkan ke seluruh negara, sekali gus memberi nilai ekonomi lebih besar kepada Terengganu menerusi peluang pekerjaan, pelaburan dan pengukuhan rantaian bekalan sektor agromakanan.




