KOTA BHARU,13 OGOS ( Berita Harian) – Kerajaan Kelantan berhasrat memperkukuhkan penglibatan dalam industri petroleum dan gas bagi memastikan manfaat sektor berkenaan dapat dinikmati rakyat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata usaha itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira kerangka perundangan sedia ada, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Katanya, kedudukan Kelantan dari sudut perlembagaan juga berbeza dengan Sarawak yang mempunyai hak tertentu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selaras dengan hasrat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar (PMBK) menubuhkan Kelantan Ventures Sdn Bhd (KVSB) sebagai syarikat tujuan khas bagi meneroka peluang penyertaan Kelantan dalam industri petroleum dan gas secara lebih tersusun dan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Nasriff Daud @ Daud Yatimee (PAS-Pengkalan Pasir) mengenai hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan perbadanan petroleum dan gas Kelantan seperti Sarawak bagi memastikan hasil dapat dipulangkan kepada negeri dengan sebaik mungkin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.
Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, menerusi KVSB, Kelantan sedang membina kapasiti, meneroka peluang pelaburan dan menjalinkan kerjasama dengan syarikat berwibawa dalam rantaian nilai industri petroleum dan gas.
Katanya, penyertaan itu memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian nilai industri termasuk pembangunan supply base, logistik serta perkhidmatan sokongan sektor huluan dan hiliran.
“Selain itu, Kelantan turut meneroka peluang dalam sektor tenaga bagi memastikan penyertaan negeri dalam industri ini dapat berkembang secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan perkembangan Northern Offshore Oil & Gas Corridor yang menempatkan Tok Bali Supply Base (TBSB) dan Tok Bali Industrial Park (TBIP) sebagai antara komponen penting pembangunan industri petroleum dan gas di kawasan berkenaan.
Katanya, rangkaian berkenaan juga berpotensi diintegrasikan dengan sistem logistik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa hadapan.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan keupayaan institusi serta meneliti model penyertaan yang paling sesuai mengikut ruang perundangan yang ada,” katanya.




