SEREMBAN, 16 JULAI – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan Bumiputera menerusi penganjuran Program Halal BizStart: Halal Bukan Pilihan Tetapi Keperluan yang berlangsung di Palm Hotel Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Ir. Dr. Mahzan Teh itu menghimpunkan kira-kira 300 usahawan daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, gaya hidup serta perkhidmatan.
Penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman usahawan mengenai kepentingan Pensijilan Halal Malaysia, di samping membimbing mereka membuat persediaan awal sebelum mengemukakan permohonan sijil halal.
Menurut Ir. Dr. Mahzan , pensijilan halal pada masa kini bukan lagi sekadar nilai tambah kepada sesuatu produk atau perkhidmatan, malah telah menjadi keperluan strategik bagi meningkatkan keyakinan pengguna, menembusi rangkaian peruncitan moden serta membuka peluang ke pasaran eksport.
Katanya, pemilikan sijil halal juga mampu memperkukuh daya saing usahawan Bumiputera dalam menghadapi persaingan industri yang semakin mencabar, selain meningkatkan kebolehpasaran produk di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif MyHALAL MARA itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi perkongsian berkaitan pensijilan halal, taklimat MyHALAL MARA, Seminar Kesedaran Halal serta sesi ramah mesra bersama peserta.
Selain itu, para usahawan turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan secara langsung daripada pegawai halal MARA serta agensi berkaitan bagi memudahkan proses permohonan Pensijilan Halal Malaysia.
Penganjuran Halal BizStart selaras dengan aspirasi Pelan Strategik MARA 2026–2030 serta sambutan 60 Tahun MARA, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing, memenuhi standard industri dan mampu menembusi pasaran global.




