KUALA LUMPUR, 11 OKT ( Berita Harian) – Dana Usaha Niaga Ekonomi Baharu bernilai RM1.25 bilion yang ditubuhkan Sime Darby Property Bhd bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menyokong pembangunan pusat data bernilai tinggi serta aset logistik di Bandar Elmina.
Syarikat itu menyambut baik Belanjawan 2027 yang disifatkan mampu merangsang pelaburan domestik, memperluas pemilikan rumah dan mempercepat peralihan hijau negara.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican, berkata syarikat itu menghargai pengiktirafan Perdana Menteri terhadap dana bernilai RM1.25 bilion yang ditubuhkan bersama KWSP dan LTAT.
“Secara khusus, dana ini menyokong usaha strategik kami untuk membangunkan pusat data bernilai tinggi dan aset logistik di Bandar Elmina, sekali gus memperkukuh infrastruktur digital dan perindustrian Malaysia.
“Kami juga menyambut baik langkah kerajaan menggerakkan RM25 bilion menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah program GEAR-UP,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada sama yang sama, Sime Darby Property menyambut baik langkah memperluas akses pemilikan rumah melalui cadangan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama.
Bagi rumah berharga sehingga RM500,000, pengecualian penuh diberikan kepada perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik, manakala bagi rumah berharga sehingga RM750,000, pengecualian penuh terpakai bagi RM500,000 pertama dan pengecualian 50 peratus bagi baki nilai berkenaan.
Selain itu, jaminan pembiayaan perumahan RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Sime Darby Property turut menyambut baik pemberian elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus bagi syarikat yang melaksanakan projek teknologi hijau dan mampan, termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), serta pembelian aset teknologi hijau yang layak untuk kegunaan sendiri.
“Insentif itu dapat mempercepat penggunaan infrastruktur hijau, termasuk penyelesaian cekap tenaga dan kemudahan pengecasan EV di kawasan pembangunan perbandaran serta komersial,” katanya.
Sime Darby Property turut memuji pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memperkukuh grid elektrik negara, selain peruntukan RM100 juta untuk mitigasi banjir di Lembah Klang dan hampir RM320 juta bagi kerja menaik taraf cerun serta saliran di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat itu menyifatkan pengenalan semula klausa Perubahan Harga (VOP) bagi menangani turun naik harga diesel dan bitumen sebagai langkah pragmatik yang dapat melindungi margin kontraktor serta memastikan kestabilan ekosistem industri pembinaan.
Sime Darby Property komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan keutamaan negara, merangsang pertumbuhan mampan dan memberikan nilai berterusan kepada semua pihak berkepentingan.



