KUALA LUMPUR, 8 OKT ( Berita Harian) – Jenama kosmetik tempatan, ANAS Cosmetics yang diasaskan usahawan dan pempengaruh, Anas Zahrin, terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran e-dagang apabila mendahului carta kedai TikTok Shop Malaysia berdasarkan laporan analisis platform EchoTik.
Laporan EchoTik bertarikh 8 Julai lalu menyenaraikan ANAS sebagai kedai paling tinggi dalam kedudukan jualan TikTok Shop Malaysia bagi tempoh 29 Jun hingga 5 Julai 2026, sekali gus memperlihatkan kemampuan jenama kecantikan tempatan bersaing dalam pasaran digital.
Jenama yang diasaskan sejak 2017 itu turut dilaporkan mencatat jualan hampir 12 juta unit produk, namun tempoh pengiraan angka berkenaan tidak diperincikan dalam laporan asal EchoTik yang dirujuk.
Anas yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, berkata pencapaian itu menjadi dorongan untuk terus mengembangkan perniagaan kosmetik dan penjagaan peribadi yang dibangunkannya sejak hampir sedekad lalu.
“Setiap hari saya tidak pernah putus doa mengharapkan perjalanan perniagaan kosmetik dan penjagaan peribadi saya terus memberi manfaat kepada ramai.
“Ternyata, di sebalik keadaan ekonomi tidak menentu dan persaingan jualan banyak produk di TikTok, barangan kosmetik keluaran saya masih menjadi pilihan ramai.
“Menjadi yang pertama di TikTok Shop itu juga bukan tiket untuk saya mendabik dada. Sebaliknya, pencapaian itu menjadi kayu pengukur bahawa memang ada produk keluaran tempatan atau Bumiputera yang boleh diterima ramai,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan jenama tempatan dalam platform e-dagang membuktikan produk keluaran usahawan Malaysia mempunyai potensi untuk membina pasaran dan bersaing dengan jenama antarabangsa.
“Kita boleh bangga dengan produk keluaran anak tempatan. Jika jenama terkenal luar negara boleh, kita juga boleh ikut jejak sama atau lebih baik daripada mereka,” katanya yang berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah hari ini.
Mengulas pencapaian perniagaannya, Anas berkata, ANAS Cosmetics turut memperoleh tiga pengiktirafan dalam kategori kecantikan, kesihatan dan penjagaan peribadi di TikTok Shop Malaysia pada April lalu.
Pengiktirafan berkenaan membabitkan kedudukan pertama bagi kategori Pencipta Kandungan dan Penjual Tempatan, selain tempat ketiga dalam kategori Penjual.
“Alhamdulillah, saban tahun saya diiktiraf di TikTok. Usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Ungkapan keramat itu tidak akan lekang dalam diri. Setiap hari menjadi penanda baharu dan motivasi untuk terus maju ke hadapan,” katanya.
Anas berkata, penggunaan penstriman langsung menjadi antara pendekatan penting dalam mengembangkan jualan apabila membolehkan usahawan berinteraksi secara terus dengan pelanggan dan memperkenalkan produk kepada pasaran lebih luas.
“Baru-baru ini, saya juga cukup teruja kerana mencapai jualan satu juta dalam tempoh sekali penstriman langsung diadakan di TikTok.
“Dulu pada awalnya tiada siapa yang percaya, malah ada yang sinis ketawa memandang rendah saat saya jadikan platform TikTok untuk berniaga.
“Akhirnya, saya berjaya buktikan yang platform ini juga boleh menjadi satu medan magnet rezeki untuk saya kongsi dengan semua pihak,” katanya.
Perkembangan perniagaan menerusi penstriman langsung itu sejajar dengan pertumbuhan perdagangan digital di Malaysia apabila TikTok Shop melaporkan jualan melalui siaran langsung meningkat 48 peratus tahun ke tahun.
Menurut kenyataan rasmi TikTok Shop Malaysia pada 20 Ogos lalu, hampir enam daripada 10 penggunanya memilih penstriman langsung sebagai kaedah membeli-belah, manakala jualan melalui saluran berkenaan kini menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan jualan platform itu.
Platform berkenaan turut mengumumkan komitmen sokongan terkumpul sehingga RM250 juta kepada penjual dan pencipta kandungan tempatan sepanjang 2026 menerusi pelbagai inisiatif, termasuk program JomLokal Booster 2.0.
Sementara itu, Anas yang pernah memenangi anugerah TikTok Shop Creator of The Year pada Anugerah TikTok Malaysia 2023 berkata, kejayaannya turut didorong sokongan keluarga, khususnya ibunya, Hajjah Hamida Dan, selain kakitangan dan rakan yang sentiasa membantu perjalanan perniagaannya.
“Selain doa mak dan keluarga, sahabat tersayang serta staf juga menjadi individu yang tidak henti dan tanpa jemu menyokong perniagaan dilakukan ini. Terima kasih tidak terhingga dari dalam hati ini.
“Doakan saya terus melakar sejarah dan terbang lebih tinggi. Doakan saya dikelilingi orang yang baik-baik supaya boleh kongsi rezeki dengan lebih ramai insan.
“Bukan saya yang hebat tapi doa mustajab mak yang tidak pernah penat dipanjangkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anas berkata, beliau turut dilantik TikTok sebagai mentor kepada pencipta kandungan lain menerusi program TikTok Shop Creator Icon musim kedua.
Katanya, usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming turut terbabit sebagai mentor dalam program berkenaan, manakala ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri antara individu yang diundang untuk berkongsi pengalaman.



