BATU PAHAT, 4 OKT ( Berita Harian) – Tiga pelajar lelaki ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, dekat sini, semalam.
Ketiga-tiga pelajar berusia 16 tahun itu ditahan beberapa jam susulan penemuan mayat mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, kira-kira jam 5.30 petang.
Difahamkan, seorang daripada pelajar terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk mendapatkan perintah reman, pagi ini, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Mereka adalah pelajar sekolah sama dengan mangsa yang disyaki dibunuh dengan kejam sebelum ditinggalkan di dalam dewan sekolahnya.
Dalam kejadian itu, Irene Sofiya dijumpai nenek dan rakannya yang mencari arwah di sekolah selepas mangsa tidak pulang ke rumah.



