BACHOK, 3 OKT ( Berita Harian) – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menjalani pembedahan lima jam selepas cedera parah diserang lima ekor anjing liar dalam kejadian di Pantai Kuala Kemasin, di sini.
Mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman, 8, selamat menjalani pembedahan mencuci dan menampal kesan lubang bekas gigitan anjing termasuk kesan taring haiwan berkenaan pada bahagian kepala dan leher.
Bapa mangsa, Zuraiman Mahmod, 47, berkata ketika kejadian dia difahamkan anak kelapan daripada sembilan beradik itu sedang bermain di kawasan pantai berkenaan bersama beberapa saudaranya kira-kira jam 9.00 pagi Khamis lalu.
Katanya, secara tiba-tiba sekumpulan anjing liar datang dan mengejar mereka dan keadaan menyebabkan anaknya terjatuh sebelum kumpulan anjing itu menyerang dan menggigit kanak-kanak itu.
“Anak sempat bangun dan menendang haiwan-haiwan berkenaan dan melarikan diri ke arah air, barulah anjing-anjing itu berhenti menyerang.
“Kejadian disedari seorang buruh yang kebetulan berada di kawasan itu dan beliau yang membawa anak ke kedai makan kami yang terletak berhampiran pantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zuraiman berkata, beliau sudah lama berniaga makanan di situ dan kejadian serangan anjing liar itu yang kedua berlaku dalam tempoh dua tahun.
Katanya, sebelum ini seorang nelayan cedera di bahagian tangan diserang anjing liar dan tidak menyangka seorang anaknya turut menjadi mangsa serangan haiwan berkenan.
Katanya, selepas menjalani pembedahan bermula jam 1 petang semalam hingga jam 5 petang, anaknya kini berada dalam keadaan stabil dan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.



