AMPANG, 4 SEPT ( Berita Harian) – : Pakatan Harapan (PH) terbuka dengan cadangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal daripada tempoh penggal berakhir pada Februari 2028.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembubaran Dewan Rakyat ialah di bawah prerogatif beliau sebagai perdana menteri dan beliau akan mempersembah cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas tiba masanya.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan Kerajaan Persekutuan ketika ini ialah meningkatkan kesejahteraan rakyat, selain membersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Bagi saya fokus ini yang penting. Tambahan, kerajaan ketika ini masih stabil. Jadi, kita tumpu yang ini terlebih dahulu.
“Jangan gusar, orang yang amanah dan bersih, tidak harus takut dengan langkah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia atau Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kita tak boleh terus biarkan keadaan sekarang.
“Saya tahu kerana saya pun ada hadapi beberapa tekanan dan cadangan, tetapi saya ambil keputusan seperti disampaikan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin, iaitu kita dapat mandat mentadbir, urus dengan baik, bersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat dan solat sunat jenazah di Masjid Bukit Indah dekat sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencadangkan PRU16 diadakan lebih awal daripada tarikh terbubar sendiri.
Saranan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut disokong Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tumpuan beliau untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membebaskan negara daripada amalan rasuah serta salah guna kuasa itu disokong semua ahli Jemaah Menteri.
“Kita mahu agensi berjalan dengan berhemah dan adil. Bukan bermaksud tekan sesiapa, seperti tohmahan yang dilemparkan. Tak ada bukti (salah laku), lepaskan,” katanya.




