PADANG BESAR, 21 OGOS ( Berita Harian) – Pembinaan litar permotoran bernilai RM20 juta di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA) bakal menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, berkata pembangunan litar sepanjang 1.3 kilometer itu bukan sahaja memberi impak positif kepada ekonomi setempat, malah turut mengukuhkan sektor pelancongan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, litar yang bakal dibina itu disasarkan menjadi penanda aras serta contoh bukan sahaja kepada negara jiran, malah di peringkat Asia.
“Pada 15 September depan, kita akan mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan litar permotoran ini menerusi jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat ESR Motors.
“Dengan adanya litar ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan martabat sukan permotoran, malah turut melonjakkan ekonomi setempat dan negeri Perlis secara keseluruhannya,” katanya selepas mengadakan lawatan bagi meninjau tapak pembinaan litar berkenaan dekat sini.
Abu Bakar berkata, kemudahan baharu itu bakal merancakkan lagi sektor pelancongan sempadan khususnya menerusi kemasukan pengunjung dari Thailand.
“Pelancong dari Thailand, terutamanya peminat sukan permotoran yang ingin berkunjung ke litar itu pasti akan singgah dan berbelanja di Perlis.
“Ini sudah tentu membantu kepada peningkatan rantaian ekonomi setempat dan peniaga tempatan yang akan merasakan limpahannya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan untuk mencari pelabur berpotensi bagi membangunkan hotel bertaraf lima bintang di negeri itu.
Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan Brunei atau Thailand bagi mewujudkan konsep bandar berkembar serta memacu pelancongan sempadan.
“Konsep bandar berkembar yang dirancang ini mungkin boleh dilaksana dalam bentuk Perlis-Brunei dan Perlis-Bangkok. Buat masa ini belum ada pertemuan rasmi bagi pelaksanaan inisiatif ini, namun kita merancang untuk mengadakan lawatan kerja ke sana selepas ini,” katanya.




