SUNGAI PETANI, 27 JULAI (Berita Harian) – Penemuan satu objek menyerupai bom dengan satu nota berbaur ugutan menggemparkan pekerja di sebuah kilang di Bukit Selambau, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pekerja wanita di kilang itu jam 12.30 tengah hari berhubung penemuan objek berkenaan di hadapan pintu utama pejabat pentadbiran kilang.
Beliau berkata, berikutan itu sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) ke lokasi dan hasil semakan dilakukan mendapati objek terbabit menyerupai seperti satu unit bom tangan, tetapi tidak berfungsi.
“Maksudnya bom itu bukan yang lengkap dan menyerupai bentuk bom tangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, ” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian
.Hanyan berkata, pekerja kilang yang beroperasi 24 jam itu melihat objek berkenaan kira-kira jam 10 pagi di hadapan pintu utama pejabat.
“Walaupun pintu utama ini tidak digunakan oleh pekerja lain, tetapi digunakan pekerja pejabat untuk memasuki premis.
“Siasatan awal mendapati, kawasan itu tidak dipasang kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses siasatan lanjut dan turut mempunyai saksi.
“Nota itu bertulis bahasa Melayu berwarna merah iaitu ‘berhenti operasi’ dan sama ada merujuk kepada operasi apa masih dalam siasatan lagi,” katanya.




