PADANG RENGAS, 17 SEPT ( Berita Harian) – Projek ternakan ikan Persatuan Penduduk Kampung Buaia di sini bukan sekadar menjana pendapatan, malah tampil sebagai lokasi rekreasi menerusi aktiviti memancing dan litar sukan motocross.
Keunikan konsep itu menjadikan ia tempat untuk bersantai sekali gus menggamit kedatangan penduduk setempat dan pengunjung luar.
Projek yang dimulakan sejak Jun lalu itu membabitkan empat kolam ternakan bagi ikan keli, tilapia merah, puyu hibrid dan patin untuk tujuan komersial.
Selain itu, dua lagi kolam disediakan untuk pengunjung yang ingin memancing sendiri ikan keli dan tilapia.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Buaia, Mohamad Jamil Mat Din, 60, berkata sistem pengairan di enam kolam ternakan itu juga unik kerana beroperasi secara semula jadi menggunakan sumber air mata air yang sentiasa mengalir di kampung itu.
Katanya, kewujudan kolam berkenaan adalah antara strategi bagi memastikan projek ternakan ikan menerusi peruntukan RM100,000 di bawah program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) kekal terjaga, sekali gus mengembalikan manfaat kepada penduduk.
“Apabila orang datang memancing di sini, semangat ahli persatuan kami yang terdiri daripada lebih 50 ahli secara tidak langsung meningkat untuk terus mengusahakan kolam ternakan ikan ini dan memastikan suasananya ‘hidup’.
“Secara tidak langsung, lokasi kolam ini juga menjadi tempat riadah bagi penduduk, malah orang luar yang datang untuk menenangkan fikiran,” katanya kepada BH.
Beliau yang juga pesara tentera berkata, selain Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), projek berkenaan turut dipantau Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Perak, termasuk menerusi pembekalan 18,000 benih ikan keli dan 6,000 benih patin.
Biarpun pengeluaran pertama projek itu dijangka pada Oktober ini, pihaknya sudah merancang supaya keuntungan utama daripada hasil jualan ikan disalurkan kembali untuk manfaat penduduk, selain dimasukkan ke tabung persatuan bagi menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti.
“Kami merancang supaya penduduk kampung yang berminat diberikan peluang mengambil bekalan ikan daripada kami pada harga murah untuk dijual bagi menjana pendapatan tambahan mengikut harga pasaran.
“Penduduk yang tidak mempunyai modal juga boleh mengambil bekalan ikan terlebih dahulu dan membayar semula modal selepas jualan ikan dilakukan,” katanya.
Katanya, kewujudan litar motocross yang diusahakan persatuan itu juga dilihat berpotensi dalam jangka masa panjang untuk menjadikan Kampung Buaya sebagai salah satu lokasi ekopelancongan kerana ia berdekatan dengan lokasi lata air terjun Ulu Kongsor.
Menurutnya, trek litar dalam kawasan hutan sepanjang 1.2 kilometer (km) itu turut membabitkan laluan mendaki bukit dan merentasi anak sungai, sekali gus dilihat berpotensi dikembangkan sebagai lokasi pertandingan sukan motocross.
“Pembinaan litar motocross didorong apabila melihat orang muda zaman ini begitu meminati sukan permotoran, namun biasanya mereka tiada tempat untuk ‘bermain’ motosikal secara sah hingga memaksa mereka bermain di luar kampung.
“Jadi, kami melabur dengan mengeluarkan modal persatuan yang sebahagiannya turut diperoleh daripada penaja tertentu untuk membangunkan litar dalam kawasan kampung kami secara komuniti melalui penubuhan jawatankuasa kecil persatuan,” katanya.
DOF diletakkan sebagai salah satu agensi peneraju bagi flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) menerusi Pelan Pembangunan Negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan flagship terbabit turut menyenaraikan Hab Agropelancongan sebagai antara agendanya.
Selain itu, ICU JPM yang memantau projek Sejati MADANI diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada flagship Membasmi Miskin Tegar 2025 yang digariskan dalam pelan pembangunan negeri yang sama




