KUALA LUMPUR, 7 JULAI – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima pembentangan cadangan Bumiputera Investment Programme (BIP) daripada Bursa Malaysia sebagai langkah memperkukuh literasi kewangan dan membudayakan amalan pelaburan dalam kalangan masyarakat Bumiputera.
Sesi pembentangan itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, YBhg. Ir. Dr. Mahzan Teh, manakala delegasi Bursa Malaysia diketuai oleh Pengarah, Social Impact & Investor Empowerment, Puan Mazliana Mohamad.
Cadangan kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan literasi kewangan serta memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal menerusi program pembangunan kapasiti yang merangkumi pendidikan pelaburan, pengurusan kewangan dan kesedaran terhadap risiko penipuan kewangan.
Menerusi program berkenaan, seramai 5,000 Bumiputera berusia 18 tahun ke atas disasarkan menyertai latihan yang meliputi perancangan kewangan, pengurusan risiko, kesedaran terhadap penipuan kewangan, analisis saham dan pengurusan portfolio. Inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal serta menyokong pembinaan kekayaan jangka panjang secara mampan.
Selain BIP, Bursa Malaysia turut mengemukakan beberapa cadangan kerjasama lain yang melibatkan institusi pendidikan MARA. Antaranya ialah pelaksanaan program literasi kewangan untuk pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), pembangunan modul pelaburan bagi pelajar institusi pengajian tinggi dan TVET MARA, serta program pembangunan keusahawanan dan pembinaan kekayaan untuk warga kerja MARA.
Cadangan tersebut dilihat selaras dengan aspirasi Pelan Strategik MARA 2026–2030 yang memberi penekanan kepada usaha memperluas penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera, di samping memperkukuh agenda pemerkasaan masyarakat Bumiputera sempena sambutan 60 Tahun MARA.




