KUALA PENYU, 29 JULAI– Karnival Usahawan PMKS Zon Kuala Penyu menjadi platform penting dalam memperluaskan akses usahawan tempatan kepada pembiayaan, rangkaian industri dan peluang pasaran, sekali gus memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
Bagi kebanyakan pengusaha PMKS, cabaran utama untuk mengembangkan perniagaan bukan sekadar menghasilkan produk berkualiti, tetapi mendapatkan akses kepada pembiayaan yang bersesuaian serta membina jaringan strategik bagi memperluaskan pasaran.
Menyedari keperluan tersebut, karnival anjuran MINDET Sabah yang berlangsung pada 24 dan 25 Julai itu menghimpunkan pelbagai agensi bagi menyediakan sokongan secara terus kepada usahawan. Program berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu, Datuk Limus Jury sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan ekonomi usahawan tempatan.
Sebagai antara agensi yang terlibat, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Sabah memanfaatkan platform tersebut untuk mendekati usahawan melalui sesi penerangan mengenai Program Dana Penskalaan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BSSF), iaitu skim pembiayaan yang direka bagi membantu perusahaan Bumiputera meningkatkan kapasiti perniagaan dan berkembang ke skala yang lebih kompetitif.
Selain itu, TERAJU Sabah turut membuka ruang kepada usahawan untuk membina jaringan dengan pelabur, agensi sokongan serta rakan industri, sekali gus mewujudkan peluang kerjasama dan akses kepada pasaran yang lebih luas. Penyertaan dalam ruang pameran juga memberi peluang kepada usahawan Kuala Penyu mempromosikan produk tempatan kepada khalayak dan bakal rakan perniagaan.
Penyertaan TERAJU Sabah dalam karnival ini mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam memastikan usahawan Bumiputera, khususnya di Sabah, mendapat akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan peluang pasaran yang mampu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka.
Usaha seperti ini dijangka terus memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan serta menyokong agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.




