JELEBU, 29 JULAI – Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan itu menjadi satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan, di samping bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.
Beliau berkata, persetujuan itu dicapai menerusi hubungan baik Malaysia dengan Myanmar, sekali gus membuktikan isu pelarian tidak boleh diselesaikan hanya dengan gesaan supaya mereka dihantar pulang.
Orang nak jawab dalam kata, ‘Hantar balik, hantar balik’. Nak hantar balik ke mana? Myanmar tidak mahu terima.
“Jadi sebab itu hubungan baik dengan Myanmar penting. Sekarang ini mereka setuju ambil 5,000 orang dahulu,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama PMX di Simpang Durian, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, Myanmar juga bersetuju menerima semula 300,000 Rohingya yang berada di Bangladesh.
Katanya, ketika ini kerajaan masih terus berunding dengan Myanmar bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi cabaran kepada beberapa negara di rantau ini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan tetap akan mengambil pendekatan tegas bagi memastikan pelarian Rohingya di Malaysia tidak mengganggu ketenteraman awam.
“Saya sudah beri amaran dan saya juga sudah arahkan kepada polis. Saya tidak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam. Ini Malaysia, tak boleh dia ganggu kita.
“Jadi polis akan ambil tindakan, pindahkan dia. Kita cegah.
“Sebab itu saya bagi tahu pada orang Rohingya, duduk baik-baik, kita sedia tempat asing. Kamu jangan ganggu perniagaan orang Malaysia, jangan ganggu lalu lintas dan tempat mereka duduk, nanti orang marah,” katanya.



