JOHOR BAHRU, 8 JUN – Pempengaruh masakan dan usahawan makanan terkenal, Hajah Wan Habsah Wan Ahmad (Chef Ustazah), mencipta satu lagi sejarah apabila dinobatkan sebagai Pemenang pertama Ikon Usahawan TikTok Shop–TEKUN Nasional 2026, di sini, semalam.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan Chef Ustazah dalam memanfaatkan platform digital bagi membangunkan perniagaan serta memperkasa komuniti usahawan tempatan.
Chef Ustazah berkata, seramai lima usahawan telah disenaraikan dalam kelompok lima terbaik, namun rezeki berpihak kepadanya apabila diumumkan sebagai pemenang utama.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Kemenangan ini bukan milik saya seorang tetapi untuk semua yang sentiasa menyokong perjalanan ini sejak awal. Semoga ia menjadi motivasi kepada usahawan lain untuk terus berusaha, berdoa dan bertawakal.
Terima kasih kepada TEKUN Nasional Kelantan yang mencalonkan saya bagi anugerah ini. Terima kasih juga kepada agensi-agensi lain yang turut membantu dan menyokong saya mencapai kejayaan ini termasuk SME Corp Malaysia, SME Bank, INSKEN dan TEKUN Nasional,” katanya.
Chef Ustazah turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi yang banyak membantu perkembangan perniagaannya, antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) serta Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN Kelantan).

Ikon Digital dan inspirasi usahawan
Chef Ustazah bukan sahaja dikenali sebagai jurulatih masakan dan pakar dalam pengeluaran rempah siap guna serta makanan sedia dimakan (RTE), malah beliau turut muncul sebagai antara pencipta kandungan masakan paling berpengaruh di media sosial.
Melalui platform TikTok, beliau berjaya membina komuniti pengikut yang besar dengan perkongsian resipi mudah, tip perniagaan makanan dan promosi produk tempatan. Kejayaannya turut membuka peluang kepada ramai usahawan baharu, ejen, stokis dan affiliate untuk menjana pendapatan menerusi ekosistem digital.
Antara produk yang mendapat sambutan pengguna ialah rangkaian pes masakan, rempah siap guna, Garlic Spread dan Kicap Sotong yang telah membantu mengukuhkan jenama Chef Ustazah di pasaran tempatan.
Sebelum ini, beliau juga pernah menerima pelbagai pengiktirafan keusahawanan termasuk anugerah Social Impact Business Icon, sekali gus membuktikan kejayaannya bukan sahaja dalam aspek jualan, malah dalam memberi impak positif kepada masyarakat dan pembangunan usahawan.
“Perjalanan ini baru sahaja bermula. Masih banyak ilmu yang perlu diteroka dan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk berani menceburi dunia keusahawanan digital dan bersama-sama memperkukuhkan ekonomi ummah,” katanya.
Kejayaan Chef Ustazah itu dilihat sebagai bukti bahawa gabungan ilmu, teknologi digital dan semangat keusahawanan mampu melahirkan usahawan tempatan yang berjaya bersaing di peringkat nasional serta menjadi inspirasi kepada generasi usahawan masa depan.




