JOHOR BAHRU, 7 JUN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Onn Hafiz Ghazi tegas menolak DAP termasuk rela melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya parti itu menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri bersama BN di Johor.
Onn Hafiz berkata, pendirian tersebut bukan bersifat perkauman, sebaliknya bagi memastikan BN Johor dapat mentadbir negeri berdasarkan prinsip serta mandat yang diberikan rakyat.
Katanya, pendirian politik yang diambil tidak seharusnya dilihat sebagai isu perkauman kerana rakyat Johor hidup dalam suasana harmoni sebagai satu keluarga di bawah semangat Bangsa Johor.
“Sekiranya rakyat terus memberikan kepercayaan kepada BN, pentadbiran Johor tidak akan melibatkan DAP.
“Saya sanggup tidak menjadi Menteri Besar jika DAP bersama BN dalam kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, Johor sejak sekian lama dibangunkan atas semangat perpaduan yang merangkumi masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai kaum lain.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memastikan bantuan dan manfaat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Jelasnya, program Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang kini memasuki fasa keempat telah memberi manfaat kepada pelbagai golongan termasuk masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli, suri rumah, warga emas serta ibu tunggal.
Beliau menjelaskan bahawa pendirian BN Johor terhadap kerjasama politik adalah berkaitan hala tuju pentadbiran negeri dan bukan penolakan terhadap mana-mana kaum.
Dalam majlis yang sama, Onn Hafiz turut mengumumkan kepulangan dua tokoh veteran politik negara, Noh Omar dan Syed Hamid Albar ke dalam UMNO.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran Hishammuddin Hussein selepas penggantungan keahlian pemimpin itu ditarik balik.
Majlis Pelancaran Jentera BN Johor tersebut menghimpunkan barisan kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri sebagai persediaan menghadapi PRN Johor akan datang.




