KUALA LUMPUR, 20 SEPT ( Berita Harian) – Babah Ventures Sdn Bhd, pengendali restoran makanan autentik nasi padang di bawah jenama Bumbu Babah, menyasarkan dana RM5 juta dalam tempoh dua bulan menerusi kempen Pendanaan Ekuiti (ECF) bagi mempercepatkan peluasan perniagaan, selain mengembangkan rangkaiannya kepada 100 cawangan dalam tempoh dua tahun.
Pengasas dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Mohamad Hanaffi Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak Shiro berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk mengembangkan rangkaian Bumbu Babah terutama ke pusat beli-belah utama, selain membangunkan jenama dan kerjasama baharu, meneroka peluang pengambilalihan serta memperkukuh penggunaan teknologi.
Katanya, Bumbu Babah kini sudah mencapai 60 cawangan dalam tempoh kurang dua tahun, sekali gus membuktikan konsep, sistem operasi dan pasukan yang dibangunkan syarikat mampu berkembang pada skala besar.
“Sekarang kami nampak peluang untuk tembusi lebih banyak pusat beli-belah utama, membangunkan jenama baharu seperti Bumbu Babah Warisan dan pengambilalihan serta melabur dalam teknologi.
“Jadi, dengan adanya modal tambahan menerusi ECF ia boleh membantu kami memanfaatkan peluang itu dengan lebih, bagi saya itu sesuatu yang kita patut lakukan,” katanya kepada media pada majlis pelancaran ECF dan Bumbu Babah Warisan di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pengumpulan modal dilakukan ketika syarikat berada dalam kedudukan baik bagi membolehkan Bumbu Babah memanfaatkan peluang pertumbuhan yang dilihat semakin terbuka, bukannya menunggu sehingga syarikat benar-benar memerlukan dana.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebahagian dana akan menyokong pengembangan konsep baharu Bumbu Babah Warisan yang diperkenalkan sebagai format restoran lebih besar dan berkonsepkan santapan sepanjang hari.
“Bumbu Babah Warisan membolehkan syarikat menawarkan pilihan makanan lebih luas termasuk menu Nusantara selain menu Nasi Padang yang menjadi teras jenama dan kita nak jadikannya sebagai ‘all-day dining destination’, oleh itu kita sediakan pilihan untuk makanan tengah hari, minum petang, makan malam,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kewangan Korporat Babah Ventures, Eu Jinn, berkata ECF membolehkan pelabur biasa melabur secara langsung dalam syarikat persendirian dan menjadi pemegang saham sebenar.
Katanya, kempen Babah Ventures dijalankan menerusi platform ECF pitchIN, manakala pelaburan minimum ditetapkan pada RM800 untuk satu lot.
“Pelabur terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelanggan setia yang boleh membeli saham biasa dalam Babah Ventures untuk mereka menjadi pemegang saham sebenar syarikat.
“Selain saham, pelabur menerima baucar tunai Bumbu Babah bernilai RM960 yang akan dimasukkan ke dalam aplikasi pelanggan yang boleh ditebus dalam tempoh empat tahun,” katanya.
Eu Jinn berkata, struktur berkenaan dibangunkan dengan mengambil kira hakikat bahawa sebahagian pelabur terdiri daripada pelanggan Bumbu Babah sendiri yang sudah mempunyai hubungan dengan jenama berkenaan.
“Dari segi pulangan dividen pula, syarikat menyasarkan untuk memperuntukkan 30 peratus daripada keuntungan tahunannya kepada pelabur sebagai sebahagian daripada manfaat kepada pemegang saham,” katanya.
Selain itu, Ajak berkata pihaknya komited untuk mempersiapkan syarikat ke arah penyenaraian awam (IPO) menjelang 2028, dengan pemegang saham yang menyertai syarikat pada peringkat ini diharap dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan terbabit.




