KUALA LUMPUR, 31 OGOS ( Berita Harian) – “Kejayaan sesuatu teknologi bukan terletak pada kecanggihannya semata-mata, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar pelanggan,” tegas pengasas Bina BioX Sdn Bhd, Rajeswary Kandasamy.
Berpegang kepada prinsip itu, Bina BioX membangunkan biokomposit berasaskan miselium menggunakan sisa pertanian, industri dan tekstil sebagai bahan mentah. Teknologi berkenaan direka untuk pelbagai aplikasi termasuk pembungkusan pelindung, perabot serta kegunaan industri lain sebagai alternatif lebih lestari kepada bahan konvensional.
Rajeswary, yang memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam industri minyak dan gas (O&G) di Asia, Asia Barat, Afrika Utara, United Kingdom dan Amerika Latin menubuhkan Bina BioX dengan matlamat membangunkan teknologi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mempunyai nilai komersial serta berpotensi dikembangkan pada skala lebih besar.
Berteraskan konsep kelestarian gunaan, Bina BioX percaya penyelesaian mampan perlu menawarkan prestasi, kos dan kemudahan yang setanding dengan bahan konvensional. Pendekatan itu membolehkan syarikat membantu pengeluar beralih kepada bahan yang lebih bertanggungjawab tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan daya saing.
Kata Rajeswary, pertumbuhan e-dagang, sektor pembuatan dan rantaian bekalan global membuka peluang kepada penggunaan bahan pembungkusan yang lebih lestari.
“Dengan semakin banyak negara mengehadkan penggunaan plastik, industri memerlukan alternatif baharu yang praktikal dan mampu memenuhi keperluan pasaran global,” katanya.
Keunikan Bina BioX terletak pada platform teknologi bahannya yang tidak bergantung kepada satu sumber sisa sahaja. Fleksibiliti itu membolehkan pelbagai jenis bahan mentah dimanfaatkan untuk menghasilkan biomaterial bagi pembungkusan perabot, barangan elektrik dan elektronik, logistik rantaian sejuk, produk mudah pecah serta pelbagai aplikasi industri lain.
Penyertaan dalam Shell LiveWire Malaysia 2026 menjadi pemangkin penting kepada perkembangan syarikat apabila membuka peluang memperkukuh model perniagaan, memahami keperluan pelanggan dan mempercepatkan laluan ke arah pengkomersialan.
Sepanjang mengikuti program itu, Bina BioX memperoleh perspektif baharu bahawa inovasi hanya akan berjaya apabila benar-benar menjawab keperluan pelanggan. Pengalaman berkenaan mendorong syarikat memberi tumpuan kepada pengesahan pelanggan, ujian prestasi mengikut piawaian industri serta pembangunan penyelesaian yang lebih memenuhi kehendak pasaran.
Melangkah ke hadapan, Bina BioX berhasrat membina ekosistem biomaterial Malaysia yang menggabungkan sains, pembuatan dan keusahawanan.




