KUCHING, 23 JULAI – Seramai enam usahawan di bawah Program Gate to Global bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatatkan prestasi luar biasa apabila meraih nilai jualan kolektif berjumlah RM8.5 juta sepanjang tiga hari menyertai pameran Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 di Waterfront, Kuching, Sarawak .
Penghasilan angka jualan yang memberangsangkan itu adalah hasil daripada siri pertemuan perniagaan berimpak tinggi bersama para pembeli serta pengimport dari pelbagai negara.
Selain pencapaian jualan tersebut, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara usahawan MARA dan rakan niaga, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk produk tempatan menembusi pasaran global secara berfasa.
Penyertaan proaktif ini mencerminkan keupayaan serta daya saing tinggi usahawan MARA di pentas antarabangsa dalam usaha membawa produk Malaysia ke pasaran dunia.
Program itu turut diserikan dengan lawatan daripada Ahli Majlis MARA, Yang Berusaha Puan Ajar @ Siti Ajar Binti Yasin bersama barisan Pengurusan MARA Negeri Sarawak yang hadir bagi meninjau perkembangan serta memberikan sokongan moral kepada para usahawan terbabit.




