KUALA LUMPUR, 4 JUN ( Berita Harian ) – TNG Digital Sdn Bhd melakar pencapaian penting dalam perkembangan perniagaannya apabila lebih separuh daripada jumlah hasil syarikat kini disumbangkan oleh segmen bukan pembayaran.
Ini mencerminkan transformasi TNG eWallet daripada sekadar aplikasi pembayaran kepada platform digital yang menggabungkan perkhidmatan kewangan, perjalanan dan gaya hidup dalam satu ekosistem kepada rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata TNG eWallet kini telah berkembang menjadi platform digital harian yang digunakan untuk pelbagai keperluan seperti menyemak simpanan melalui GOfinance, menambah nilai kad Touch ‘n Go, mencari tawaran makanan, membayar bil serta mengurus aktiviti kewangan pengguna dalam satu aplikasi yang sama.
“Perniagaan bukan pembayaran kini menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah hasil syarikat, termasuk segmen kewangan, pelaburan, insurans, pelancongan, ganjaran serta perkhidmatan pengiklanan, sekali gus menandakan peralihan besar daripada model perniagaan berasaskan pembayaran semata-mata kepada ekosistem digital yang lebih luas.
“Perkembangan itu jelas menunjukkan perubahan besar dalam tingkah laku pengguna Malaysia yang semakin bergantung kepada satu aplikasi untuk mengurus pelbagai aspek kehidupan harian, sekali gus mengukuhkan peranan TNG eWallet sebagai ‘everyday digital companion’,” katanya pada taklimat media TNG Digital di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Produk & Pertumbuhan TNG Digital, Chew Wei Wing, berkata seiring dengan perkembangan itu, Touch ‘n Go Digital turut melancarkan reka bentuk baharu aplikasi TNG eWallet yang mula diperkenalkan bermula semalam dengan pendekatan lebih ringkas dan berasaskan carian bagi memudahkan pengguna mengakses semua fungsi tanpa perlu melalui banyak lapisan navigasi dalam aplikasi.
elasnya, antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk fungsi carian pintar yang membolehkan pengguna mencari semua perkhidmatan, promosi dan ciri aplikasi dalam satu bar carian, selain pengimbas universal QR yang telah dipertingkatkan untuk digunakan bukan sahaja bagi pembayaran, tetapi juga untuk imbasan menu digital di restoran dan pelbagai kegunaan lain.
“Turut diperkenalkan adalah bar navigasi baharu yang lebih ringkas dan dioptimumkan untuk penggunaan satu tangan, dengan akses pantas kepada fungsi utama seperti pemindahan wang, Scan & Pay, aktiviti transaksi serta profil pengguna, selaras dengan keperluan penggunaan harian yang lebih pantas dan mudah.
“Aplikasi berkenaan juga memperkenalkan empat hab utama iaitu GOfinance yang menghimpunkan pengurusan kewangan seperti simpanan, pelaburan, pinjaman dan insurans; Bills untuk pembayaran utiliti dan bil berulang; Transport yang merangkumi perjalanan, tol, RFID serta servis berkaitan kenderaan; serta Near Me yang memfokuskan kepada pencarian tawaran dan lokasi berhampiran pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, TNG Digital turut memaklumkan lebih 26 juta pengguna berdaftar dengan TNG eWallet, dengan 13.5 juta daripadanya merupakan pengguna aktif bulanan, manakala pengguna aktif secara purata berinteraksi dengan aplikasi tersebut sebanyak dua kali sehari, menunjukkan tahap keterlibatan yang semakin tinggi dalam ekosistem digital berkenaan.
Selain itu, segmen rentas sempadan dan perkhidmatan antarabangsa kini menyumbang sekitar 10 peratus daripada hasil syarikat, manakala perkhidmatan business-to-business (B2B) pula menyumbang kira-kira enam peratus, didorong oleh perkembangan perkhidmatan seperti penyelesaian digital, pengiklanan dan perkhidmatan nilai tambah kepada peniaga.
Syarikat itu turut merujuk data Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan peningkatan ketara penggunaan e-dompet di Malaysia, yang kini mengatasi gabungan transaksi kad debit dan kredit, selari dengan perubahan pengguna ke arah ekonomi tanpa tunai yang semakin meluas.
Mengulas hala tuju masa depan, Alan Ni menjelaskan syarikat tidak memberi tumpuan kepada menjadi institusi perbankan, sebaliknya terus memperkukuh model kerjasama dengan institusi kewangan serta menyokong perkembangan konsep ‘open finance’ yang membolehkan integrasi data kewangan antara pelbagai pihak pada masa depan.
Jelasnya, reka bentuk baharu aplikasi turut mengambil kira penggunaan data dan analitik bagi meningkatkan pengalaman pengguna yang lebih diperibadikan, dengan potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan cadangan kewangan, peringatan bil serta pengurusan perbelanjaan yang lebih relevan mengikut tabiat pengguna.




