KUALA LUMPUR, 27 OGOS ( Berita Harian) – Sime Darby Bhd (Sime) merekodkan lonjakan keuntungan bersih teras sebanyak 32.6 peratus kepada RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 didorong terutama sumbangan lebih kukuh daripada bahagian Motornya.
Kumpulan itu merekodkan pendapatan RM69.5 bilion bagi tahun kewangan itu berbanding RM70.1 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pulangan atas ekuiti (ROE) teras meningkat kepada lapan peratus berbanding 6.2 peratus.
Keuntungan bersihnya pula berjumlah RM1.76 bilion, lebih rendah berbanding tahun kewangan 2025 berikutan tahun sebelumnya menerima manfaat daripada keuntungan sebelum cukai lebih tinggi berjumlah RM901 juta hasil pelupusan tanah Malaysia Vision Valley (MVV).
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, keuntungan sebelum cukai daripada pelupusan tanah MVV adalah RM434 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata prestasi itu dicapai walaupun kumpulan berdepan ketidaktentuan berterusan dalam beberapa pasaran utama, tekanan persaingan dalam sektor automotif serta permintaan lebih lembut dalam rantaian nilai sumber yang menjejaskan perniagaan perindustrian.
Beliau berkata, walaupun berdepan perkara itu, kumpulan berjaya mencatat keputusan kukuh bagi tahun kewangan itu, mencerminkan daya tahan dan usaha keras seluruh kumpulan.
“Dalam (bahagian) motor, perniagaan kami di China mencatat peningkatan, manakala jualan kenderaan elektrik (EV) di Singapura terus meningkat dan jumlah jualan kenderaan di Malaysia juga lebih tinggi.
“Dalam (bahagian) Industri, operasi Malaysia menjana peningkatan hasil susulan penghantaran projek pusat data. Kepelbagaian portfolio dan jejak geografi Sime terus menjadi kekuatan kumpulan dalam menghadapi kitaran pasaran,” katanya.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih teras Sime meningkat 55 peratus kepada RM518 juta, disokong prestasi lebih baik bahagian Motor.
Bahagian Motor merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) lebih tinggi sebanyak RM55 juta, disokong pendapatan dividen daripada perniagaan Malaysia Motor, peningkatan jualan EV di Singapura serta marJin lebih baik daripada operasi di Hong Kong, Macau dan Taiwan.
Bahagian Industri pula mencatat PBIT RM348 juta, dengan peningkatan hasil daripada penghantaran mengikut pencapaian projek pusat data di Malaysia membantu mengimbangi sumbangan lebih rendah daripada operasi Australia serta kemerosotan nilai yang diiktiraf pada suku berkenaan.
Sementara itu, bahagian UMW merekodkan PBIT RM219 juta pada suku keempat, dengan bahagian keuntungan lebih tinggi daripada Perodua membantu mengurangkan kesan prestasi lebih lemah perniagaan automotifnya.
Jeffri berkata, walaupun tahun kewangan dikaji mencabar, kedudukan operasi kumpulan kini berada pada tahap yang baik, seperti ditunjukkan menerusi peningkatan keuntungan bersih teras.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan tekanan pasaran akan terus wujud. Strategi kami kekal memberi tumpuan kepada mengukuhkan kerjasama dengan jenama global terkemuka dan memperkukuh bahagian pasaran bagi mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.




