KUALA LUMPUR,27 OGOS – Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan bersih RM5.17 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, disokong prestasi perniagaan yang kekal berdaya tahan dalam persekitaran operasi yang dinamik.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM2.69 bilion, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku berkenaan pula meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM3.64 bilion, manakala pulangan atas ekuiti (ROE) bertambah baik kepada 12.0 peratus daripada 11.6 peratus setahun sebelumnya.
Menurut Maybank, prestasi itu disokong pengurusan kos yang berdisiplin serta penurunan ketara dalam peruntukan kemerosotan nilai bersih, dengan pendapatan operasi bersih kumpulan berjumlah RM7.51 bilion.
Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM5.03 bilion, manakala pertumbuhan yuran teras membantu mengimbangi pendapatan berkaitan pasaran yang lebih rendah.
Dalam masa sama, yuran kekayaan meningkat 61.5 peratus tahun ke tahun, diikuti yuran berkaitan perbankan pelaburan (IB) yang meningkat 58.4 peratus dan yuran berkaitan perbankan sebanyak 2.6 peratus.
Maybank berkata, margin faedah bersih (NIM) meningkat 10 mata asas tahun ke tahun kepada 2.10 peratus pada suku kedua tahun ke tahun 2026, manakala peruntukan kemerosotan nilai bersih berkurang 51.4 peratus kepada RM230 juta.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, prestasi Maybank kekal berdaya tahan dengan NIM pada 2.12 peratus serta pertumbuhan kukuh pendapatan yuran teras sebanyak 12.1 peratus.
Kualiti aset pula kekal stabil apabila peruntukan kemerosotan nilai bersih susut 51.6 peratus berbanding setahun lalu, manakala perbelanjaan overhed berkurang 3.9 peratus tahun ke tahun hasil pengurusan kos yang berdisiplin.
Bagi tempoh dikaji, pinjaman kumpulan meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM695.9 bilion, dengan pertumbuhan di Malaysia sebanyak 5.5 peratus, Indonesia 4.3 peratus dan Singapura 3.4 peratus.
Pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kumpulan pula meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun, sekali gus meningkatkan nisbah CASA kepada 41.5 peratus daripada 37.8 peratus setahun sebelumnya.
Berdasarkan prestasi kewangan positif, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 31 sen sesaham, termasuk 5 sen yang boleh dipilih di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP), membabitkan jumlah pembayaran dividen kira-kira RM3.75 bilion atau 72.5 peratus daripada keuntungan bersih separuh pertama tahun kewangan 2026.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa, berkata prestasi suku kedua mencerminkan asas kewangan kumpulan yang kukuh serta pendekatan berhemat dalam mengurus kunci kira-kira dan risiko.
“Kedudukan modal dan kecairan kami yang kukuh menjadi asas yang teguh untuk kami menghadapi perubahan keadaan pasaran dengan penuh keyakinan, di samping mengekalkan keupayaan kewangan untuk menyokong pelanggan dan perniagaan kami,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, berkata prestasi kumpulan mencerminkan momentum berterusan dalam perniagaan utama serta kemajuan terhadap keutamaan strategiknya.
Beliau menambah, Maybank mengekalkan sasaran prestasi tahun kewangan penuh 2026, termasuk pulangan atas ekuiti (ROE) minimum 11.8 peratus dan pertumbuhan pinjaman empat hingga lima peratus, meskipun ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat terus menjadi perhatian.
Menurutnya, kumpulan perbankan itu turut mengekalkan panduan kos kredit sekitar 20 mata asas serta nisbah kos kepada pendapatan sekitar 49 peratus.
“Bagi ROE, kami mengekalkan panduan minimum 11.8 peratus. Untuk pertumbuhan pinjaman, kami mengekalkannya antara empat hingga lima peratus,” katanya.
Mengulas perkembangan konflik di Asia Barat, Khairussaleh berkata sejak tercetusnya konflik berkenaan, Maybank aktif berhubung dengan pelanggan, terutama peminjam serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi menilai kesan yang mungkin dihadapi.




