KUALA LUMPUR 13 OKT ( Harian Metro) – Malaysia setakat ini belum menerima sebarang petunjuk daripada Amerika Syarikat (AS) mengenai kemungkinan pengenaan tarif terhadap eksport semikonduktor negara ke pasaran berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tiada sebarang makluman diterima kerajaan yang menunjukkan Washington bercadang mengenakan tarif terhadap produk semikonduktor Malaysia.
“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa AS akan mengenakan sebarang tarif terhadap semikonduktor dari Malaysia,” katanya pada sidang media Hari Perniagaan EU-Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada produk semikonduktor Malaysia akan terus menikmati pengecualian tarif daripada AS.
Mengulas perkembangan rundingan perdagangan dengan AS, Johari berkata, perbincangan di bawah Seksyen 301 membabitkan empat isu utama, iaitu buruh paksa, lebihan kapasiti pengeluaran, alam sekitar dan subsidi kerajaan.
Beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik dalam aspek pematuhan alam sekitar dan subsidi kerajaan kerana negara tidak menyediakan subsidi kepada syarikat semata-mata untuk mengeksport produk ke pasaran luar.
“Berhubung alam sekitar, kita berada pada kedudukan yang baik. Kita menjaga alam sekitar dan mematuhi keperluan yang ditetapkan negara maju.
“Dalam aspek subsidi kerajaan pula, kita jelas kerana tidak memberikan subsidi kepada syarikat untuk mengeksport ke negara lain,” katanya.
Johari berkata, isu berkaitan buruh paksa juga sudah dimuktamadkan, dengan Malaysia dikenakan kadar 10 peratus berbanding 12.5 peratus bagi beberapa ekonomi lain, menurut penjelasannya mengenai rundingan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, isu lebihan kapasiti pengeluaran masih belum diselesaikan sepenuhnya, meskipun Malaysia menegaskan negara tidak berdepan masalah lebihan kapasiti domestik.
Beliau berkata, sekiranya terdapat isu lebihan kapasiti yang dikaitkan dengan eksport dari Malaysia, ia berkemungkinan berpunca daripada negara ketiga dan bukannya pengeluaran tempatan.
“Malaysia tidak mempunyai lebihan kapasiti. Jika terdapat lebihan kapasiti, ia mesti datang daripada negara ketiga dan bukannya negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, Johari berkata, Malaysia mahu pihak AS mengenal pasti negara yang dianggap mempunyai masalah lebihan kapasiti supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap negara mempunyai undang-undang dan keperluan tersendiri bagi membenarkan produk asing memasuki pasaran masing-masing.
Katanya, Malaysia perlu memenuhi keperluan berkenaan bagi memastikan produk tempatan dapat terus mengakses pasaran eksport antarabangsa.
“Mana-mana pasaran yang kita mahu masuki mempunyai kriteria dan undang-undang tersendiri yang perlu dipatuhi. Jika kita tidak mematuhinya, kita tidak boleh memasuki pasaran itu,” katanya.




