KUALA LUMPUR, 2 SEPT ( Berita Harian) – Pelakon veteran, Aziz Abdullah dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit serta jangkitan kuman pada paru-paru dan dalam darah di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, pada jam 7.21 pagi semalam.
Menurut anaknya, Nadia Hanim, 35, arwah ayahnya yang berusia 70 tahun itu turut mengalami masalah buah pinggang selain mempunyai sejarah penyakit tiga serangkai dan diserang strok beberapa tahun lalu.
“Punca kematian ayah disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru dan darah berpunca daripada ‘bed sore’ serta komplikasi buah pinggang. Arwah juga pernah diserang strok sekitar tahun 2021 atau 2022.
“Komplikasi itu memberi kesan kepada organ dalamannya termasuk hati, jantung dan paru-paru. Doktor turut memaklumkan jangkitan pada paru-paru itu berlaku selepas susu yang diminumnya memasuki saluran pernafasan ketika dia muntah,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Nadia yang juga anak tunggal Allahyarham memberitahu arwah ayahnya mula dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 12 Ogos lalu sebelum dibenarkan keluar pada 20 Ogos.
Namun, keadaannya kembali merosot seminggu kemudian apabila muntah ketika diberikan susu di rumah, menyebabkan dia terpaksa dilarikan ke bahagian kecemasan Hospital Sultan Idris Shah pada 26 Ogos lalu.
“Arwah sudah tidak boleh berkomunikasi secara tiba-tiba sejak pertengahan Ogos lalu. Pertuturannya menjadi sangat perlahan dan hanya mampu memberi respon menerusi anggukan kepala atau pergerakan anak mata sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai pembabitan arwah dalam seni, Nadia memberitahu arwah ayahnya sudah lama tidak berlakon sejak mereka berpindah ke Bangi, selain hanya mengambil tawaran teater bangsawan secara berkala.
“Selepas berhenti berlakon, ayah lebih selesa memandu teksi. Sejak arwah emak meninggal dunia pada 2016, ayah banyak menghabiskan masa lapangnya bersama enam orang cucu dan menguruskan kebun,” katanya.
Jenazah Allahyarham Aziz disempurnakan di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas kira-kira jam 2.15 petang semalam.




