KUALA LUMPUR, 28 MEI ( Berita Harian) – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mempergiat pembangunan ekonomi sempadan Malaysia-Thailand menerusi projek strategik bernilai tinggi bagi memanfaatkan peralihan rantaian bekalan global serta pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan, berkata strategi pembangunan itu dipacu menerusi Kerangka Pelaburan Baharu yang memberi tumpuan kepada pelaburan berteknologi tinggi serta kewujudan pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu menggabungkan sektor pembuatan, logistik rentas sempadan, inovasi dan tenaga boleh baharu bagi memperkukuh kedudukan wilayah utara sebagai hab pelaburan strategik ASEAN.
“Strategi China +1 bukan lagi trend sementara, sebaliknya penjajaran semula struktur rantaian bekalan global. Dengan kekuatan keterhubungan logistik, kemudahan perdagangan sempadan serta kos operasi kompetitif, NCER menawarkan akses strategik dan berisiko rendah ke pasaran ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.
NCIA kini menyepadukan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (BKH ICD) dengan taman perindustrian tematik termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP).
Menurutnya, pendekatan itu memastikan keterhubungan rentas sempadan lebih lancar selain mempercepat akses perdagangan ke subwilayah Greater Mekong.
Dalam perkembangan berkaitan, CVIA mencatat pelaburan penting daripada pengeluar global, Jabil, yang memulakan operasi awal pada Disember tahun lalu dengan pengembangan fasa seterusnya sedang dilaksanakan.
Mohamad Haris berkata, NCIA juga dijangka memuktamadkan beberapa lagi komitmen pelaburan besar di CVIA sebelum akhir tahun ini.
Pada masa sama, PIP yang siap sepenuhnya tahun ini mula meningkatkan kapasiti pengendalian secara berperingkat sepanjang 2026 bagi memperkukuh Padang Besar sebagai hab logistik pelbagai mod ASEAN.
Di Kedah Rubber City pula, Prinx Tire melaksanakan pelaburan kumulatif RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun bagi membangunkan kilang tayar pintar dan mesra alam.
“Operasi awal projek itu dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan dijangka mewujudkan limpahan ekonomi termasuk peluang pekerjaan mahir serta pembangunan vendor tempatan.
“NCIA turut memuktamadkan beberapa pelaburan tambahan bagi mempercepat pengisian Fasa 1 KRC menjelang akhir tahun,” katanya.
Sementara itu, infrastruktur Fasa 2A KSTP di Bukit Kayu Hitam dijangka siap Disember ini sebelum mula menerima pelaburan seawal tahun depan.
“Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, KSTP diunjur menarik pelaburan RM12.9 bilion dan mewujudkan 23,244 peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, NCER turut memanfaatkan platform Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) bagi memperkukuh agenda pembangunan sempadan dan menarik lebih banyak pelaburan strategik.
“Hasil awal dicapai menerusi CVIA, PIP dan KRC tahun ini menjadi bukti keberkesanan model pembangunan ekonomi sempadan NCER dalam meningkatkan keyakinan pelabur global terhadap wilayah utara,” katanya




