KOTA BHARU, 8 OGOS – Lima wanita cemerlang dalam bidang kepimpinan, pendidikan dan keusahawanan diangkat sebagai Tokoh dan Ikon Sayyidatina Khadijah 2026 sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2026 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, kelmarin
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasa golongan wanita berteraskan nilai Islam, selain menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang Mohd Nassuruddin Haji Daud, manakala ucapan alu-aluan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim.
Hari Sayyidatina Khadijah merupakan platform tahunan Kerajaan Negeri Kelantan bagi menghargai jasa dan sumbangan wanita yang cemerlang dalam pelbagai bidang, di samping mengangkat keperibadian Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid RA sebagai teladan wanita unggul dari aspek keimanan, keusahawanan, kepimpinan, kebijaksanaan dan pengorbanan.
Dalam ucapannya, Rohani berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan wanita secara menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif, antaranya Dasar Wanita Solehah, Pelan Tindakan Gagasan Wanita Solehah, Skim Cakna Suri, Tabung Usahawan Wanita Kelantan dan Kuliah Bulanan Wanita.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada ribuan wanita Kelantan setiap tahun menerusi bantuan kebajikan, pembangunan ekonomi, pendidikan keluarga dan latihan kemahiran.
Sejak 2015 hingga 2025, seramai 58 wanita telah dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Negeri, manakala 30 lagi menerima pengiktirafan sebagai Ikon Wanita Negeri. Selain itu, seramai 101 wanita telah dianugerahkan sebagai Tokoh dan Ikon Wanita di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi HSK 2026, tiga penerima dipilih sebagai Tokoh Sayyidatina Khadijah, manakala dua lagi menerima pengiktirafan sebagai Ikon Wanita Muda.
Penerima anugerah Tokoh dan Ikon Sayyidatina Khadijah Al-Khuwailid HSK 2026 ialah YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi bagi kategori Tokoh Kepimpinan, Hajah Sanarehan Sidik bagi Tokoh Pendidikan, serta Noraini Ahmad bagi Tokoh Keusahawanan.
Sementara itu, Puan Sharifah Nori Bahar menerima pengiktirafan Ikon Wanita Muda Keusahawanan, manakala Dr. Raihan Mohd Arifin dipilih sebagai Ikon Wanita Muda Pendidikan.
Sebagai tanda penghargaan, kesemua penerima menerima selempang, sijil penghargaan, dinar emas, sejambak bunga, sepasang batik, set Biotajemel, kerongsang eksklusif HSK, kain solat serta cenderamata makanan tradisional Kelantan.
Kerajaan Negeri berharap pengiktirafan berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh wanita untuk terus memainkan peranan dan menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat serta negeri, selaras dengan aspirasi “Agar Dirimu Semulia Khadijah.”




