GEORGE TOWN, 15 JULAI – Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Seri Zulfikri Osman dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-85 Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 14 Julai 2026.
Pengurniaan darjah kebesaran itu mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau dalam menerajui MARA, khususnya dalam memperkukuh agenda pembangunan pendidikan, keusahawanan serta pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera.
Sejak menerajui MARA, Dato’ Seri Zulfikri terus memacu pelbagai inisiatif bagi memperkasa institusi berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti dan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.
Pengiktirafan tersebut turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan MARA dalam menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang serta memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju pembangunan pendidikan dan keusahawanan Bumiputera.




