KOTA BHARU, 23 OGOS – Polis akan membuka kertas siasatan berhubung kejadian penemuan seorang remaja perempuan tidak bermaya di tepi jalan di Jalan Kemuning pada 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati remaja perempuan berusia 15 tahun itu didapati lari dari rumah sebelum terjumpa seorang lelaki yang menunggang motosikal.
“Mangsa menumpang motosikal itu sebelum disuruh oleh lelaki terbabit supaya membuka pakaiannya.
“Remaja perempuan berkenaan ketakutan dan melarikan diri sebelum ditemui pengsan di tepi jalan oleh orang awam dan dibawa ke hospital.
“Pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor tiada dikenalpasti elemen rogol cuma kita bimbang berlaku cubaan dan saya minta Ketua Polis Daerah (Machang) buka kertas siasatan mengikut Akta Seksual Kanak-kanak ,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan polis menafikan mangsa dibuang atau ditinggalkan di tepi jalan selepas ditemukan orang awam dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di kawasan ‘bypass’ Machang.




