PASIR PUTEH, 17 OGOS ( berita Harian) – Seorang wanita yang baru berkahwin tiga hari ditahan reman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat janin berusia lima bulan di tepi sebuah rumah di Kuala Krai dalam kejadian dipercayai dua tahun lalu.
Majistret Nik Mohd Fadli Datuk Nik Azlan membenarkan wanita berusia 30 tahun itu ditahan reman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Pasir Puteh.
Terdahulu, wanita yang baru berkahwin kali kedua tiga hari lalu itu, tiba di perkarangan mahkamah berbaju lokap ungu dengan tangan bergari bersama polis jam 8.50 pagi tadi.
Dia yang pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai jam 10.30 malam tadi.
Turut ditahan, bekas suami wanita itu yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.
Terdahulu polis menerima laporan penemuan janin berusia lima bulan ditanam di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 2024.
Janin berkenaan dipercayai hasil hubungan sulit suspek wanita dengan teman lelaki selepas dia bercerai.
Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas berlaku perselisihan faham antara bekas suami dan wanita berkenaan dan lelaki itu kemudian membuat laporan polis.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.




