KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, mengingatkan pemain badminton negara agar tidak mengulangi persembahan mengecewakan seperti di Sukan SEA Thailand tahun lalu apabila membawa cabaran Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, setiap pemain yang dipilih perlu hadir dengan semangat juang tinggi dan disiplin yang utuh, bukannya sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai wakil negara.
Beliau menegaskan kekalahan masih boleh diterima sekiranya pemain telah memberikan aksi terbaik di gelanggang, namun tidak akan berkompromi dengan sikap sambil lewa atau kurang kesungguhan.
“Kalau kalah, kita boleh terima. Tetapi kita kena lihat bagaimana kekalahan itu berlaku. Kalau pemain sudah beri maksimum, kita boleh terima. Tetapi kalau pergi sana sekadar main-main atau tidak mahu berjuang, itu memang tidak boleh diterima,” katanya kepada Beita Harian Sukan.
Chong Wei mengakui prestasi skuad badminton negara pada Sukan SEA Thailand menjadi pengajaran penting selepas gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pada temasya itu, BAM mempertaruhkan barisan pemain terbaik dengan sasaran membawa pulang empat pingat emas. Namun, Malaysia sekadar meraih satu pingat emas menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, selain dua pingat perak menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan acara berpasukan, serta enam pingat gangsa.
Mengulas mengenai isu ganjaran, Chong Wei berkata pemain tidak seharusnya menjadikan hadiah wang kemenangan sebagai motivasi utama ketika mewakili negara.
Menurutnya, temasya seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik menuntut pemain mengutamakan maruah negara serta menghargai peluang, kemudahan dan sokongan yang diberikan sepanjang pembangunan karier mereka.
“Ini bukan untuk diri sendiri. Ini untuk negara. Pemain perlu fikir siapa yang memberi mereka platform, fasiliti dan tempat latihan sehingga berada di tahap sekarang,” katanya.
Beliau turut mengakui ganjaran kewangan mungkin boleh dikaji oleh pihak berkaitan, namun menegaskan tanggungjawab kepada negara tetap perlu menjadi keutamaan setiap atlet.
Dalam usaha memperkukuhkan persiapan ke Sukan Asia 2026, Chong Wei berkata perkara itu telah dibincangkan bersama barisan jurulatih bagi memastikan standard prestasi dan mentaliti pemain berada pada tahap terbaik.
Katanya, hanya pemain terbaik yang benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental akan dipilih untuk menggalas cabaran negara.
“Saya mahu pemain terbaik pergi ke Sukan Asia. Bukan pergi sekadar mahu pergi, tetapi pergi untuk menang pingat,” katanya.
Mengulas sasaran Malaysia di Aichi-Nagoya, Chong Wei menegaskan impian memburu pingat emas kekal menjadi matlamat utama walaupun menyedari cabaran daripada kuasa-kuasa besar badminton dunia bukan mudah.
Beliau berkata, apa yang paling penting ialah pemain mempamerkan komitmen sepenuhnya sehingga rakyat dapat melihat mereka telah memberikan segala-galanya di gelanggang.
“Semua orang mahu menang emas. Tetapi yang penting, kalau kalah sekali pun, rakyat boleh nampak pemain sudah beri maksimum,” katanya.




