BANGI,30 JUN ( Berita Harian) – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kukuh pada paras purata antara RM4,000 hingga RM4,300 satu tan sehingga penghujung tahun ini, disokong oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat, kesan El Nino serta peningkatan penggunaan biodiesel di Indonesia.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata ketika ini harga MSM berada pada paras RM4,000 hingga RM4,500 satu tan dan ia dijangka terus disokong oleh beberapa faktor yang mengehadkan bekalan minyak sawit global.
“Kalau kita lihat, harga sawit kita sekarang ini memang masih mengukuh, berada sekitar RM4,000 hingga RM4,200 ke RM4,500 satu tan. Bagi tahun ini, kita menyasarkan harga purata kekal kukuh antara RM4,000 hingga RM4,300,” katanya pada sidang media selepas Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 di Ibu Pejabat MPOB di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Parveez berkata, ketegangan di Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada bekalan petroleum dunia, sekali gus menyebabkan harga minyak sawit dan minyak sayuran lain turut meningkat berikutan hubungan rapat antara harga komoditi berkenaan.
Selain faktor geopolitik, katanya, potensi kesan El Nino yang boleh menjejaskan proses pendebungaan sawit serta pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia dijangka terus menyokong harga minyak sawit pada paras tinggi.
“Pelaksanaan biodiesel B50 oleh Indonesia yang bermula esok dianggarkan memerlukan tambahan kira-kira tiga juta tan minyak sawit setahun bagi memenuhi permintaan sektor tenaga domestik negara berkenaan.
“Peningkatan penggunaan domestik ini berpotensi mengurangkan jumlah minyak sawit yang tersedia untuk pasaran eksport global, sekali gus akan terus menyokong harga minyak sawit,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), beliau berkata syarikat perladangan besar di Malaysia secara umumnya sudah bersedia kerana sebahagiannya telah mula mengeksport produk sawit yang mematuhi piawaian awal EUDR sejak dua tahun lalu.
Bagi pekebun kecil pula, katanya, tahap kesiapsiagaan di Semenanjung Malaysia telah melebihi 80 peratus, namun Sabah dan Sarawak masih berdepan cabaran terutama berkaitan status hak milik tanah yang diperlukan bagi tujuan pemetaan geo-lokasi ladang.
“Di Semenanjung, tahap persediaan pekebun kecil kita melebihi 80 hingga 82 peratus. Di Sabah sekitar 60 peratus, manakala di Sarawak lebih rendah kerana isu dokumentasi dan hak milik tanah,” katanya.
Beliau berkata, MPOB yakin antara 90 hingga 95 peratus pekebun kecil yang mempunyai lesen sah serta hak milik tanah yang jelas dapat dimasukkan ke dalam sistem pematuhan sebelum pelaksanaan EUDR ke atas pekebun kecil bermula, sekali gus membolehkan hasil mereka terus dieksport ke pasaran Kesatuan Eropah tanpa halangan.
Pelaksanaan EUDR yang dijadualkan pada 31 Disember 2025 telah ditangguhkan pada 30 Disember 2026 bagi pengendali besar/sederhana, dan 30 Jun 2027 bagi perusahaan mikro/kecil.




