KUALA LUMPUR,24 OGOS ( Berita Harian) – Jurang antara pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan pekerja perlu diberi perhatian memandangkan pertumbuhan output yang tinggi tidak semestinya bermakna manfaat ekonomi diagihkan secara sama rata kepada tenaga kerja, menurut penganalisis.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata KDNK mengukur nilai output yang dihasilkan, tetapi tidak menggambarkan bagaimana pertumbuhan itu diagihkan antara pekerja dan pemilik modal.
Beliau berkata, dalam kes Malaysia, sebahagian besar momentum sekarang datang daripada sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, infrastruktur digital dan pelaburan berskala besar.
Menurutnya, sektor itu boleh menghasilkan pertumbuhan output yang tinggi tanpa menghasilkan pertumbuhan pekerjaan pada kadar yang sama kerana ia lebih berintensifkan modal dan semakin bergantung kepada teknologi.
“Justeru, kita boleh mempunyai pertumbuhan KDNK yang tinggi, tetapi pertumbuhan gaji yang agak sederhana,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian mengulas KDNK suku kedua 2026 berkembang 6.0 peratus, tetapi gaji benar pekerja hanya naik 2.2 peratus dan kesan jika keadaan itu berlarutan.
Pertumbuhan kadar upah benar, iaitu upah pekerja yang telah diselaraskan dengan faktor harga barangan dan perkhidmatan, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan, iaitu 2.2 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 2.4 peratus pada suku pertama tahun ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata, pertumbuhan gaji benar sebanyak 2.2 peratus masih positif kerana menunjukkan pendapatan pekerja berkembang selepas mengambil kira inflasi, namun kadar itu dianggap terlalu rendah jika dibandingkan dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.0 peratus.
“Pada saya, ini bukan masalah untuk satu atau dua suku tahun. Tetapi kalau ia menjadi trend, ia boleh menjadi masalah struktur,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara kesan pertama sekiranya pertumbuhan pendapatan isi rumah terus ketinggalan ialah pertumbuhan penggunaan boleh kehilangan momentum.
Menurutnya, kalau pendapatan benar isi rumah tidak berkembang secukupnya, penggunaan yang menjadi salah satu pemacu utama ekonomi akan mula berdepan had.
Pada masa sama, katanya, jurang antara pulangan modal dan pendapatan pekerja juga berpotensi meningkatkan ketidakseimbangan pengagihan pendapatan sekiranya keuntungan korporat berkembang jauh lebih pantas berbanding gaji.
“Jika keuntungan korporat dan pulangan modal meningkat jauh lebih pantas daripada pendapatan pekerja, manfaat pertumbuhan tidak tersebar secara sama rata,” katanya.
Mohd Sedek berkata, lebih penting, keadaan itu turut boleh menjejaskan naratif produktiviti Malaysia kerana kenaikan gaji yang mampan seharusnya didorong oleh peningkatan produktiviti pekerja, bukannya semata-mata peningkatan kos sara hidup.
“Kita sebenarnya mahu syarikat membayar gaji lebih tinggi kerana pekerja menjadi lebih produktif, bukan sekadar kerana kos sara hidup meningkat.
“Itu memerlukan lebih banyak pelaburan dalam automasi, teknologi dan modal insan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Malaysia perlu mengubah fokus daripada sekadar mengejar pertumbuhan KDNK kepada pertumbuhan yang mampu meningkatkan produktiviti, gaji serta penyertaan korporat secara lebih meluas.
“Kita tidak boleh hanya mengejar pertumbuhan KDNK. Kita perlu mengejar pertumbuhan KDNK yang menghasilkan produktiviti lebih tinggi, gaji lebih tinggi dan penyertaan korporat yang lebih luas.
“Kalau tidak, kita boleh berada dalam keadaan di mana ekonomi berkembang 6.0 peratus, pasaran saham meningkat, keuntungan syarikat besar berkembang, tetapi pendapatan pekerja dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak bergerak pada kadar yang sama,” katanya.
Mohd Sedek berkata, keadaan itu bukan bermaksud pertumbuhan ekonomi tidak baik, tetapi ia menunjukkan pertumbuhan berkenaan masih belum cukup inklusif dan meluas.
Sementara itu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pasaran buruh kekal berdaya tahan dengan median upah bulanan pekerja formal mencecah RM3,027 pada Mac 2026.
“Jadi isu yang lebih penting sekarang bukan semata-mata penciptaan pekerjaan, tetapi kualiti pekerjaan dan kadar pertumbuhan pendapatan berbanding produktiviti,” katanya.




