KOTA BHARU, 28 JUN – Kedudukan dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kelantan daripada BERSATU, Datuk Kamarudin Md. Nor dan Bahari Mohd. Nor, kekal sebagai status quo dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa meskipun PAS telah menamatkan kerjasama politik dengan parti itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan terbuka dengan tidak mencampuradukkan urusan politik dan pentadbiran negeri demi memastikan amanah kepada rakyat terus dilaksanakan.
Katanya, kedua-dua EXCO terbabit telah bertemu dengannya sebelum ini dan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri mengekalkan kedudukan mereka buat masa ini.
“Kita ambil sikap terbuka. EXCO BERSATU ada berjumpa saya dan saya maklumkan bahawa kita kekalkan keputusan sedia ada. Sekarang ini kita terus bekerja untuk negeri seperti biasa dan tiada sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 Kerajaan Negeri Kelantan, di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata , pendekatan sama pernah diambil terhadap jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan apabila wakil daripada BERSATU dipecat sebelum ini, namun kerajaan negeri memilih untuk mengekalkan status quo tanpa tergesa-gesa membuat pelantikan baharu.
Katanya, kerajaan negeri bersikap berjiwa besar dengan memberi keutamaan kepada pentadbiran negeri walaupun PAS dan BERSATU tidak lagi bekerjasama dari sudut politik.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pihaknya akur dengan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa jentera pilihan raya PAS tidak akan membantu calon BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, sebagai ahli parti, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS dan akan mengikut ketetapan tersebut.




