KOTA BHARU, 3 SEPT ( Berita Harian) – Keputusan Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang berkeras tidak akan menjadi calon sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pendiriannya sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Beliau berkata, pendirian itu dipegang sejak dulu menolak BN bekerjasama dengan PH dan tidak akan menggadaikannya demi jawatan pada PRN Melaka.
“Pendirian saya dulu, kini dan selamanya tak akan bersama dengan PH. Jika BN dengan PH, saya sendiri tak akan jadi calon. Sebab bagi saya, bila kita berjuang, kita ada satu pendirian maka saya tak akan gadaikan pendirian demi sebuah jawatan.
“Pendirian saya bukan pendirian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tapi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang menyatakan dengan tegas kita sama sekali tidak ingin bersama dengan PH,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini, hari ini.
Beliau berkata, gesaan supaya UMNO keluar kerajaan dan memilih untuk menjadi pembangkang pernah disuarakannya sebelum ini namun parti itu memilih kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Saya sebenarnya bukan tak mahu jadi calon tapi pada awal tahun lepas ketika Konvensyen Khas Pemuda UMNO, kita sudah nyatakan hasrat meminta UMNO keluar daripada kerajaan, itu pendirian tegas.
“Selepas konvensyen itu, parti buat keputusan untuk kekal sehingga tamat penggal ini, maka kita hormat tapi kali ini pendirian saya untuk tidak bertanding jika BN-PH bekerjasama di Melaka, kekal dulu kini dan selamanya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kehadirannya pada Muktamar Dewan Pemuda PAS hari ini sebagai memberi sokongan kepada pergerakan dalam usaha penyatuan ummah.
“Kita hadir memberikan sokongan kepada Dewan Pemuda PAS kerana kita semua tahu agenda kami adalah untuk menyatukan ummah, selari dengan tema Pemuda PAS,” katanya.




