KUANTAN, 21 OGOS ( Berita Harian) – Kes rompakan barang kemas bernilai kira-kira RM500,000 di Taman Pandan Damai di sini, semalam yang dilakukan empat lelaki bersenjata, hanya mengambil masa kira-kira lima minit.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata suspek yang bertopeng tiba dan melarikan diri menggunakan dua motosikal tanpa nombor pendaftaran, dipercayai sebahagian daripada taktik bagi mengelak dikenal pasti.
“Tiada pelanggan ketika kejadian, kecuali isteri pemilik kedai dan dua pekerja wanita. Suspek berada dalam premis kira-kira lima minit sebelum melarikan diri bersama barang rompakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, empat lelaki bersenjatakan parang dan senjata api dipercayai jenis pump gun melarikan barang kemas bernilai RM500,000 dari kedai emas pada kira-kira jam 2 petang.
Keempat-empat suspek memasuki lot kedai berkenaan yang tiada pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian, manakala motosikal mereka ditinggalkan di luar premis.
Polis dipercayai sedang mengenal pasti laluan digunakan suspek kerana mereka mungkin tidak pergi jauh menggunakan motosikal berkenaan, selain menyiasat kemungkinan terdapat rakan lain yang terbabit.
Kejadian semalam adalah kes rompakan bersenjata kedua dilaporkan di Pahang minggu ini, selepas tiga lelaki melarikan barang kemas bernilai RM1.7 juta dari sebuah premis di Genting Highlands, Bentong, pada 17 Ogos lalu dan suspek kes itu masih bebas.
Ashari berkata, polis masih meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berhampiran dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi menentukan sama ada suspek meninggalkan motosikal selepas kejadian sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan lain.




