KUALA LUMPUR, 21 OKT ( Bernama) – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mengumumkan pelantikan Datuk Ashari Kasnan sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 November 2026.
Beliau menggantikan Datuk Mohd Noorazam Osman yang memegang jawatan berkenaan sejak 1 Januari 2025.
IRDA dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu menandakan lembaran baharu dalam kepimpinannya ketika Iskandar Malaysia meneruskan pembangunan wilayah yang dilaksanakan sejak dua dekad lalu dan memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
“Pelantikan Ashari dilaksanakan ketika Iskandar Malaysia sudah menyambut ulang tahun ke-20 pada 2026 dan memasuki fasa pembangunan wilayah seterusnya.
“Sebagai Ketua Eksekutif, beliau akan menerajui usaha IRDA untuk memudah cara pelaburan strategik, memperkukuh daya saing ekonomi wilayah serta menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, inklusif dan mampan.
“Pada masa sama, beliau akan memajukan keutamaan pembangunan jangka panjang Iskandar Malaysia serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan berdaya saing,” menurut IRDA.
Ashari mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam negeri Johor dengan kerjaya yang merangkumi pentadbiran tanah, pentadbiran daerah, pembangunan institusi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi.
Sebelum menyertai IRDA, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J’Biotech) serta J-Biotech Holdings Sdn Bhd.
Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor serta Pegawai Daerah Mersing.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengurus Besar Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB).




