KUALA LUMPUR, 24 MEI( Harian Metro) – Agrobank dengan kerjasama strategik bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA bagi membantu usahawan pasar tani memperkukuh operasi perniagaan menerusi akses pembiayaan lebih mudah dan komprehensif.
Skim berkenaan menawarkan kemudahan pembiayaan mikro, penabungan, perlindungan takaful, transaksi digital serta latihan keusahawanan percuma dalam aspek pengurusan kewangan dan pemasaran kepada peniaga kecil serta usahawan tani di seluruh negara.
Pelancaran Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin di Pasar Tani Taman Melawati, di sini hari ini.
Tengku Ahmad berkata, skim itu dirangka khas bagi membantu pertumbuhan usahawan tani khususnya dalam meningkatkan daya tahan kewangan dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Ini adalah kesinambungan kepada pelancaran Agropenjaja-i sebelum ini, sekali gus melengkapkan usaha Agrobank dalam menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh kepada peniaga kecil, usahawan tani dan penjaja pasar tani.
“Melalui skim ini, kami mahu membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan menerusi pembiayaan, latihan dan bimbingan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, Agrobank menyasarkan seramai 1,000 usahawan tani menerima manfaat skim itu menerusi kemudahan pembiayaan mikro sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan dengan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun.
Katanya, permohonan skim itu dibuka sehingga 31 Disember 2026 dan tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Bagi tahun ini, Agrobank menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta khusus untuk peniaga pasar tani di seluruh negara yang dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 5,000 peniaga.
“Selain pembiayaan, kami juga menyediakan kemudahan ‘cashline’ tunai sehingga RM5,000 ke dalam akaun peminjam bagi membantu aliran tunai perniagaan,” katanya.
Menurutnya, Agrobank turut menyediakan latihan pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan dan kemahiran pemasaran selain bimbingan secara one-to-one selama tiga bulan bagi membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing.
Dalam usaha memperluaskan penggunaan transaksi tanpa tunai, katanya, Agrobank juga akan menyediakan 200 unit DuitNow QR SoundBox secara percuma kepada pelanggan terpilih yang layak bagi menggalakkan penggunaan DuitNow QR Agrobank. Ia memudahkan pengesahan bayaran secara lebih cepat dan selamat, serta meningkatkan penyertaan usahawan tani dan peniaga kecil dalam transaksi tanpa tunai.
Beliau berkata, 500 pelanggan terawal yang layak dan memohon Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA akan menerima manfaat pembiayaan mikro bersama barangan eksklusif Agrobank.
Melalui kerjasama strategik bersama FAMA, Agrobank berharap Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA dapat memberi impak langsung kepada usahawan tani melalui akses pembiayaan yang lebih mudah dan patuh syariah.
Inisiatif ini juga diharap dapat memperkukuh daya tahan perniagaan mikro serta menyokong pertumbuhan sektor agromakanan negara secara lebih inklusif dan mampan.
Untuk maklumat lanjut mengenai skim itu boleh melayari www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.




