KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membantu 800 penternak ruminan menerusi Program Biofeed Al Falah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban penternak, khususnya golongan kecil yang berdepan peningkatan kos makanan ternakan.
Menurutnya, bantuan berkenaan meliputi bekalan makanan ternakan ruminan dan rumput silaj kepada penerima yang layak.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Biofeed Al Falah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026.
Berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi 2024, Kelantan mempunyai sebanyak 70,210 ekor lembu, 30,411 ekor kambing dan 21,566 ekor bebiri.
Jumlah itu menggambarkan kepentingan sektor penternakan ruminan dalam pembangunan industri agromakanan negeri, selain menjadi sumber pendapatan kepada keluarga penternak.
Dalam usaha menangani peningkatan kos makanan ternakan, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif, termasuk membangunkan kilang makanan ternakan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN terpilih.
Selain itu, penanaman rumput minyak turut dilaksanakan menerusi kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Jeram Pasu.
Kerajaan negeri juga sedang membuat persiapan tapak bagi pembinaan kilang makanan ternakan di Pasir Puteh melalui kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah Program Pembangunan Agro Makanan (PPAN).
Tuan Mohd Saripudin berharap bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan kebajikan ternakan terpelihara, meningkatkan produktiviti penternakan serta memperkukuh pendapatan keluarga penternak.




