KUALA LUMPUR, 12 JUN – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu bagi Asia Tenggara menerusi kerjasama strategik yang menggabungkan kelebihan Johor dan Singapura dalam mewujudkan ekosistem ekonomi serantau yang lebih berdaya saing.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Johor dan Malaysia, malah berpotensi memberi impak lebih luas kepada pembangunan ekonomi rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, pandangan itu turut dikongsi oleh pelbagai pihak berkepentingan di Singapura yang melihat JS-SEZ sebagai platform kerjasama ekonomi yang saling melengkapi antara kedua-dua wilayah.
“Apabila berbincang dengan rakan-rakan di Singapura, kita melihat JS-SEZ bukan sekadar pemangkin pertumbuhan Johor atau Malaysia. Kita percaya ia boleh menjadi pemangkin pertumbuhan baharu bagi Asia Tenggara,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke Media Prima Berhad di sini, semalam.
Menurut Onn Hafiz, Johor memiliki beberapa kelebihan strategik yang menyokong aspirasi tersebut termasuk kedudukan geografi yang bersempadan dengan Singapura, keluasan tanah yang mencukupi serta ketersediaan tenaga kerja.
Katanya, gabungan faktor berkenaan meletakkan Johor dalam kedudukan yang kukuh untuk muncul sebagai hab pelaburan dan perindustrian yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi serantau.
Beliau turut berkongsi pengalaman melawat Shenzhen, China sejurus selepas pemeteraian JS-SEZ bagi melihat sendiri kejayaan pembangunan zon ekonomi khas yang sering dijadikan penanda aras dunia.
“Saya masih ingat selepas kita menandatangani JS-SEZ, saya terus ke Shenzhen kerana ia adalah antara contoh kejayaan zon ekonomi khas yang sering menjadi rujukan.
“Dari sebuah perkampungan nelayan, Shenzhen kini berkembang menjadi antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini melepasi Hong Kong,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan Johor mempunyai kelebihan tersendiri kerana negeri itu sudah memiliki asas ekonomi yang lebih kukuh berbanding Shenzhen ketika memulakan pembangunan zon ekonominya beberapa dekad lalu.
Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memanfaatkan kekuatan sedia ada serta mempercepatkan transformasi ekonomi melalui pendekatan yang lebih bersepadu dan mesra pelabur.
Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) sebagai antara pembaharuan utama bagi memudahkan urusan pelaburan.
Menurut beliau, sebelum ini banyak agensi kerajaan beroperasi secara berasingan tanpa penyelarasan yang mencukupi sehingga menjejaskan kecekapan proses pelaburan.
Katanya, IMFC-J berfungsi sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan termasuk pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan dan agensi pelaburan bagi mempercepatkan proses kelulusan serta menyelesaikan isu yang dihadapi pelabur.
“Kita mahu memastikan wujud kemudahan menjalankan perniagaan kerana masa adalah wang bagi pelabur. Mereka boleh datang ke IMFC-J dan berurusan dengan pelbagai agensi di satu tempat tanpa perlu bergerak dari satu pejabat ke pejabat lain,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut mengambil inspirasi daripada model kemudahan menjalankan perniagaan yang dilaksanakan di Singapura.
Mengulas hubungan Johor dan Singapura, Onn Hafiz menegaskan kedua-dua pihak tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing, sebaliknya rakan strategik yang saling melengkapi dalam menarik pelaburan dan menjana pertumbuhan ekonomi.
“Kita tidak bersaing dengan Singapura. Kita saling melengkapi dan bekerjasama. Ia situasi menang-menang dan saya percaya pelabur melihat nilai yang ditawarkan melalui kerjasama ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Johor kekal berpegang kepada prinsip pembangunan mampan dengan hanya menerima pelaburan yang mampu memberi nilai tambah dan manfaat jangka panjang kepada rakyat negeri itu.



