KUALA LUMPUR,10 JUN (Berita Harian) – Indeks harga seunit besi menunjukkan peningkatan pada Mei 2026, dengan perubahan bulanan antara 0.1 peratus hingga 1.3 peratus semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan tertinggi bagi bahan ini telah direkodkan di Pahang (1.3 peratus), diikuti dengan Sibu dan Miri (masing-masing 0.8 peratus).
Beliau memaklumkan bahawa indeks harga seunit pasir juga mencatatkan peningkatan pada Mei 2026, iaitu antara 0.4 peratus hingga 9.7 peratus berbanding bulan lalu.
Katanya, peningkatan tertinggi bagi bahan ini direkodkan di Sandakan (9.7 peratus), diikuti dengan Johor dan Sibu (masing-masing 3.7 peratus).
“Tambahan itu, indeks harga seunit batu baur merekodkan peningkatan pada Mei 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.3 peratus hingga 4.7 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi bagi bahan ini telah direkodkan di Sandakan (4.7 peratus), diikuti dengan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (3.9 peratus) dan Johor (3.6 peratus).
“Manakala indeks harga simen mencatatkan peningkatan kecil pada Mei 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 2.1 peratus di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam laporan Siaran Khas Untuk Kerja-Kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur, Mei 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Laporan ini menyediakan indeks harga seunit bahan binaan terpilih dan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan.
Mohd Uzir berkata, perbandingan tahunan untuk tempoh Mei 2025 dan Mei 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi telah merekodkan peningkatan antara 1.1 peratus hingga 10 peratus bagi kebanyakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit besi telah dicatatkan di Perak (10 peratus), diikuti dengan Johor (6.0 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (4.1 peratus).
“Perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula mencatatkan peningkatan antara 1.0 peratus hingga 7.5 peratus pada Mei 2026 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi dicatatkan di Miri (7.5 peratus), diikuti dengan Kuching (7.4 peratus), Perak dan Pahang (masing-masing 6.9 peratus).
“Selain daripada itu, perbandingan tahunan untuk tempoh Mei 2025 dan Mei 2026 bagi indeks harga seunit pasir pula merekodkan peningkatan antara 1.0 peratus hingga 22.9 peratus bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ketua Perangkawan menyatakan purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars mencatatkan peningkatan kecil (0.4 peratus), dengan purata harga RM3,517.50 bagi setiap tan berbanding bulan sebelumnya.
Tambahan daripada itu, purata harga bagi simen Ordinary Portland juga merekodkan peningkatan kecil (0.3%) dengan purata harga RM25.95 bagi setiap 50 kilogram sekarung berbanding April 2026 (RM25.90 bagi setiap 50 kilogram sekarung).
Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia pada Mei 2026 mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.2 peratus hingga 4.6 peratus di kawasan berkenaan.
IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus hingga 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan pada Mei 2026 berbanding bulan sebelumnya.
Manakala, perbandingan bulan ke bulan IKB termasuk bar keluli di Sarawak juga merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 1.1 peratus bagi semua kategori bangunan.




