KUALA LUMPUR, 10 JUN ( Berita Harian) – PETRONAS mengekalkan kedudukannya sebagai jenama paling bernilai di Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut meskipun berdepan persekitaran operasi global yang semakin mencabar.
Laporan Malaysia 100 2026 yang diterbitkan firma perunding penilaian jenama terkemuka dunia Brand Finance menunjukkan nilai keseluruhan 100 jenama teratas Malaysia meningkat lima peratus tahun ke tahun kepada AS$62.2 bilion (RM252.5 bilion).
PETRONAS terus mendahului senarai berkenaan dengan nilai jenama sebanyak AS$13.8 bilion (RM56.02 bilion), susut empat peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Brand Finance, PETRONAS terus menunjukkan daya tahan melalui asas operasi yang stabil, pengembangan aktiviti huluan serta pelaburan berterusan dalam inisiatif peralihan tenaga jangka panjang meskipun harga tenaga global lebih rendah.
Genting Bhd pula naik ke kedudukan kedua sebagai jenama paling bernilai di Malaysia dengan nilai jenama meningkat 23 peratus kepada AS$6 bilion (RM24.4 bilion)
Prestasi itu dipacu oleh peningkatan prestasi operasi, pertumbuhan volum perniagaan dalam segmen riadah dan hospitaliti serta pemulihan berterusan permintaan pelancongan serantau di pasaran utama termasuk Malaysia dan Singapura.
Maybank Bhd mengekalkan kedudukan ketiga dengan nilai jenama meningkat empat peratus kepada AS$5.4 bilion (RM21.9 bilion) disokong pertumbuhan pendapatan yang stabil, pengurusan kos berdisiplin serta peningkatan kualiti aset di pasaran teras ASEAN.
Laporan sama turut mengenal pasti 100PLUS sebagai jenama dengan pertumbuhan terpantas di Malaysia tahun ini apabila nilai jenamanya melonjak 166 peratus kepada AS$190 juta (RM771.3 juta)
Peningkatan itu mencerminkan kedudukan jenama minuman isotonik berkenaan yang semakin kukuh dalam pasaran Asia Tenggara, khususnya yang berkait rapat dengan keperluan hidrasi dan prestasi sukan.
Pengarah Urusan Asia Pasifik Brand Finance, Alex Haigh, berkata juara nasional seperti PETRONAS, Maybank, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan PROTON Holdings Bhd (PROTON) terus menjadi asas kepada landskap jenama negara.
“Juara nasional seperti PETRONAS, Maybank, Tenaga Nasional dan PROTON dalam sektor tenaga, perbankan, infrastruktur dan pengguna terus menjadi asas kepada landskap jenama negara, sementara kami turut menyaksikan momentum lebih kukuh daripada jenama baharu yang berkait dengan logistik, kesalinghubungan, pendigitalan dan penggunaan gaya hidup.
“Ketika Malaysia mempercepatkan pelaburan dalam teknologi, peralihan tenaga dan integrasi perdagangan serantau, keadaan semakin tersedia untuk jenama Malaysia mengukuhkan daya saing mereka di peringkat serantau dan global,” katanya.
Westports Holdings Bhd dan MISC Bhd pula disenaraikan sebagai jenama yang perlu diberi perhatian dalam ranking tahun ini, mencerminkan kepentingan strategik sektor logistik, maritim dan infrastruktur tenaga negara yang semakin meningkat.
Nilai jenama Westports meningkat 21 peratus kepada AS$149 juta (RM604.9 juta) dipacu pertumbuhan jumlah pengendalian kontena serta rancangan pengembangan kapasiti yang berterusan bagi mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk perdagangan serantau.
MISC pula merekodkan nilai jenama sebanyak AS$678 juta (RM2.75 bilion) disokong keuntungan yang lebih kukuh serta peranannya yang semakin berkembang dalam penyelesaian maritim berkaitan tenaga dan inisiatif perkapalan rendah karbon.
Dalam kategori kekuatan jenama, Genting mengekalkan kedudukan sebagai jenama paling kukuh di Malaysia dengan skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) 92.1 daripada 100 serta penarafan AAA+, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan Brand Finance.
TNB berada di tangga kedua dengan skor BSI 91.5 daripada 100 dan penarafan AAA+, manakala PROTON menduduki tempat ketiga dengan skor BSI 90.7 daripada 100 serta penarafan yang sama, disokong pengiktirafan domestik yang kukuh dan kesetiaan pelanggan yang berterusan meskipun persaingan dalam sektor automotif semakin sengit.




