KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bermula sebagai mekanik dengan Sijil Kemahiran Tahap 2 Automotif, Tc. Azizol Adam kini muncul sebagai antara tokoh teknikal yang berjaya mengangkat nama industri automotif tempatan selepas dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Juruteknik Negara 2025.
Pengiktirafan itu bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan profesional beliau dalam bidang teknikal, malah menjadi bukti bahawa laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan usahawan berjaya serta pemimpin industri yang berdaya saing.
Anak kelahiran program TVET MARA itu merupakan alumni Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin dalam bidang Automotif pada tahun 2000 sebelum memulakan kerjaya sebagai mekanik bagi menimba pengalaman dalam industri automotif.
Berbekalkan pengalaman lebih sedekad serta sokongan program pembangunan usahawan MARA, beliau mengambil langkah berani menubuhkan AZ Tune Sdn Bhd pada tahun 2012.
Bermula dengan sebuah bengkel kecil kini berkembang menjadi syarikat automotif tempatan yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan pelbagai jenama kenderaan termasuk Toyota, Ford dan kenderaan import.
Syarikat itu kini beroperasi melalui tiga cawangan utama iaitu di Sri Rampai, Sungai Buloh dan Bangi, sekali gus membolehkan AZ Tune memperluaskan perkhidmatan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.

Bagi Tc. Azizol, kejayaan yang dicapai bukan sekadar mengenai pertumbuhan syarikat, sebaliknya bagaimana perniagaan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan modal insan negara.
Seiring perkembangan syarikat, AZ Tune turut berperanan sebagai hab latihan TVET dengan menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar institusi kemahiran termasuk institusi MARA dan kolej komuniti.
Melalui inisiatif tersebut, pelatih berpeluang memperoleh pengalaman kerja sebenar dalam bidang automotif, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.
Azizol berkata, ilmu dan kemahiran yang dimiliki perlu dikongsi demi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri.
“Biarlah apa orang kata atau apa pun pandangan mereka. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang. Yang paling penting ialah kita bekerja secara jujur dan amanah dengan ilmu yang telah dipelajari, kemudian kita kongsi semula manfaat itu dengan masyarakat,” katanya.
Selain memperkukuh latihan kemahiran, AZ Tune turut menitikberatkan aspek perlindungan pengguna melalui hubungan kerjasama yang dijalinkan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi memastikan ketelusan dan kualiti perkhidmatan sentiasa terpelihara.
Mengimbau perjalanan kerjayanya, Azizol berkata beliau mahu melihat lebih ramai anak muda TVET berani melangkah ke hadapan dan mendapatkan pengiktirafan profesional dalam bidang masing-masing.
“25 tahun dahulu, sayalah pelatih yang berjalan di atas pentas mengambil Sijil Kemahiran. Hari ini, saya mahu melihat lebih ramai juruteknik muda tampil berani untuk mendapat pengiktirafan profesional demi mengangkat ekonomi dan maruah bidang kemahiran negara,” katanya.
Kisah kejayaan beliau membuktikan bahawa pendidikan berasaskan kemahiran bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi antara pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja profesional, usahawan serta pemimpin industri yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.




