KUALA LUMPUR, 25 MEI (Berita Harian) – Maggi meneruskan usaha memperkasa wanita di negara ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melalui Program MAGGI Wanita Cukup Berani (WCB) 4.0 yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan komuniti.
Menerusi program itu, wanita di seluruh negara dipelawa mengemukakan idea perniagaan masing-masing sehingga 30 Jun ini bagi merebut peluang menerima dana permulaan RM5,000 serta mengikuti program bimbingan intensif selama lapan minggu.
Inisiatif berkenaan dijalankan dengan kerjasama KEMAS dan disokong platform Wanita Hari Ini (WHI) TV3, dengan sasaran memperluaskan capaian program kepada komuniti akar umbi khususnya golongan B40.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh, berkata program itu kini berkembang daripada inisiatif berasaskan kulinari kepada gerakan pembangunan komuniti yang menyasarkan penyertaan 10,000 wanita menjelang akhir tahun ini.
Katanya, peserta turut didedahkan dengan kemahiran asas perniagaan termasuk pemasaran digital dan pengurusan kewangan bagi membantu mereka membina sumber pendapatan yang lebih mampan.
“Program Wanita Cukup Berani melambangkan keberanian untuk mengambil langkah ke hadapan yang pertama demi membina kehidupan yang lebih baik.
“Pada hari ini, langkah pertama ini menjadi jauh lebih bermakna. Seiring pertumbuhan ekonomi digital yang meningkat, wanita yang bermula sekarang berpeluang membina pendapatan yang mampan, meningkatkan keyakinan diri serta mencipta masa depan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata pihaknya komited mewujudkan lebih banyak laluan pembangunan mampan bagi membantu wanita meningkatkan taraf hidup menerusi keusahawanan.
Beliau berkata, penyertaan dalam program itu bukan sekadar membentangkan idea perniagaan, sebaliknya menjadi langkah awal ke arah membina masa depan yang lebih baik.
“Kami kekal komited dalam mewujudkan lebih banyak laluan yang mampan untuk memperkasakan wanita agar terus maju dan berjaya. Penyertaan dalam Program MAGGI WCB bukan sekadar mengenai membentangkan idea perniagaan, tetapi juga merupakan satu langkah berani ke arah membina masa depan yang lebih baik dan lebih cerah,” katanya.
Program yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Bandar Baru Klang itu turut merangkumi seminar keusahawanan, demonstrasi masakan, sesi pembangunan keyakinan diri serta perkongsian pengalaman usahawan bagi membantu peserta mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.




