KUALA LUMPUR, 25 MEI (Bernama) – Kredibiliti institusi Malaysia kekal menjadi kelebihan daya saing utama dalam landskap pensijilan halal global, disokong sistem pensijilan halal yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, menurut BMI, unit kepada Fitch Solutions.
Dalam kenyataan itu, BMI menyifatkan JAKIM sebagai penanda aras halal kerana ketelitian, konsistensi serta kematangan operasinya.
Menurutnya, pengaruh Malaysia turut disokong persepsi bahawa sistem pensijilan negara ini lebih dipercayai dari sudut teknikal, diurus secara profesional serta jelas di peringkat antarabangsa.
Malaysia juga didapati mempunyai asas pengguna lebih mewah, dengan 47.6 peratus isi rumah diunjurkan memperoleh pendapatan melebihi US$25,000 pada 2026, lebih tinggi berbanding Türkiye dan Indonesia.
Selain itu, Malaysia mempunyai ekosistem halal lebih luas merangkumi kewangan Islam, pelancongan, farmaseutikal serta pembuatan berorientasikan eksport.
BMI berkata Malaysia telah mengambil langkah awal memformalkan tadbir urus halal apabila pensijilan halal diiktiraf negeri diperkenalkan secara nasional pada 1994 di bawah JAKIM ketika itu dikenali sebagai Bahagian Makanan dan Produk Pengguna Islam.
Sebagai perbandingan, beberapa negara majoriti Islam lain kemudian membangunkan rangka kerja halal tersendiri atau menggunakan pendekatan lebih tidak berpusat.
Indonesia, misalnya, telah lama mempunyai ekosistem halal melalui Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebelum beralih kepada sistem lebih berpusat di bawah Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) selepas penubuhannya pada 2017.
Dalam pasaran global yang tidak menentu, BMI berkata negara dan syarikat kini cenderung memilih pensijilan yang dipercayai secara meluas, sekali gus menjadikan sistem Malaysia bernilai secara komersial di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, BMI menyatakan Malaysia tidak mempunyai kuasa pasaran domestik berskala besar seperti Indonesia untuk memaksa penyelarasan global dalam piawaian halal.
“Pensijilannya mungkin diiktiraf secara meluas, tetapi ia tidak boleh memaksa firma antarabangsa untuk menyelaraskan diri seperti Indonesia melalui saiz permintaan yang besar,” katanya.
Menurutnya lagi, sistem halal global masih berdepan ketidakseimbangan dari segi pengiktirafan merentasi negara dan badan pensijilan, sekali gus meningkatkan kos pematuhan serta melambatkan kemasukan ke pasaran.
BMI turut menjelaskan ekonomi halal kini berkembang daripada sekadar pematuhan agama kepada sistem perdagangan dan kawal selia antarabangsa yang lebih meluas, dengan sektor makanan dan minuman kekal sebagai segmen terbesar.
Perbelanjaan makanan dan minuman halal dijangka meningkat daripada US$1.3 trilion pada 2026 kepada AS$1.8 trilion menjelang 2030, dipacu pertumbuhan ekonomi di pasaran majoriti Islam.




