KUALA LUMPUR, 23 MEI (Berita Harian) – Trend pemindahan operasi syarikat pembuatan dari Singapura ke Johor dilihat semakin memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab industri dan logistik serantau menerusi model operasi berkembar atau ‘twin operations’ yang kini menjadi strategi utama banyak syarikat antarabangsa.
Penganalisis bebas, Nazri Hamdan, berkata di bawah model itu, syarikat besar mengekalkan fungsi bernilai tinggi seperti pengurusan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kewangan serta penjenamaan di Singapura, manakala operasi pengeluaran dan pembuatan dipindahkan ke Johor.
Beliau berkata, pendekatan itu selari aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menyasarkan kemasukan 50 projek dalam tempoh lima tahun pertama, selain mewujudkan kira-kira 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, Johor kini tidak lagi boleh dilihat sekadar destinasi kos rendah untuk operasi kilang, sebaliknya bergerak menjadi pusat industri bernilai tambah tinggi yang disokong teknologi dan tenaga kerja mahir.
“Jika sebelum ini mana-mana kilang dari Singapura atau negara lain masuk disebabkan kos murah, kita tidak memerlukannya lagi. Kita perlukan lebih daripada sekadar kerja,” katanya kepada BH.
Singapura baru-baru ini dilaporkan sedang berdepan perubahan besar dalam sektor pembuatan, terutama industri makanan dan minuman (F&B) apabila satu persatu syarikat terkemuka seperti Gardenia dan Yeo Hiap Seng (Yeo’s) mula memindahkan sebahagian operasi pengeluaran keluar dari negara itu ke Malaysia.
Gardenia misalnya mengumumkan pengeluaran roti mereka akan dipindahkan ke Johor Bahru, dengan sekitar 141 pekerja di Singapura terkesan, manakala Yeo’s menggabungkan operasi pembuatan tin di Johor dan Selangor pada Mac lalu sebagai sebahagian usaha pelarasan operasinya.
Kerajaan dan media perniagaan republik itu bagaimanapun melihat perkembangan sedemikian sebagai sebahagian strategi ekonomi baharu Singapura untuk mengekalkan fungsi bernilai tinggi seperti ibu pejabat, R&D, kewangan dan pengurusan, manakala aktiviti pengeluaran dipindahkan ke negara yang mempunyai kos operasi lebih kompetitif seperti Malaysia.
Penuhi keperluan industri moden
Mengulas lanjut, Nazri berkata, kejayaan strategi operasi berkembar itu banyak bergantung kepada kemampuan Johor menyediakan kumpulan bakat yang memenuhi keperluan industri moden, termasuk bidang automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI) pembuatan dan semikonduktor.
Katanya, sekiranya bakat tempatan berjaya dibangunkan mengikut kehendak industri, rakyat Malaysia bukan sahaja berpeluang bekerja dalam sektor pengeluaran biasa, malah boleh mengisi jawatan bernilai tinggi seperti jurutera robotik, pakar AI pembuatan serta juruteknik semikonduktor.
Beliau berkata, operasi pengeluaran memerlukan penggunaan tanah, utiliti, tenaga kerja dan sumber tempatan dalam skala besar, sekali gus memberi limpahan ekonomi lebih meluas kepada Johor berbanding fungsi pengurusan yang kekal di Singapura.
“Contohnya, satu kilang elektronik bernilai RM2 bilion mungkin mengambil 3,000 pekerja untuk syarikat mereka. Tetapi pada masa sama, ribuan lagi peluang pekerjaan akan diwujudkan oleh vendor mereka kepada rakyat tempatan,” katanya.
Nazri berkata, kemasukan syarikat pembuatan besar dari Singapura juga akan merangsang pertumbuhan ekosistem vendor tempatan kerana syarikat terbabit memerlukan sokongan daripada pelbagai industri lain.
Beliau berkata, antara sektor yang bakal menerima manfaat termasuk logistik, pembungkusan, penyelenggaraan mesin, logistik ‘cold chain’, perisian industri, pendawaian teknikal serta penyediaan peralatan sokongan pengeluaran.
“Kalau satu syarikat makanan Singapura bernilai RM500 juta masuk ke Johor dan menggaji 1,000 pekerja, di belakangnya mungkin ada 20 syarikat logistik, 15 vendor pembungkusan, syarikat ‘forklift’ dan pelbagai vendor teknikal lain yang turut mendapat manfaat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan, vendor tempatan perlu segera meningkatkan kemampuan dan standard operasi masing-masing supaya mampu memenuhi kehendak industri berteknologi tinggi yang semakin kompleks.
Katanya, jika syarikat tempatan gagal meningkatkan keupayaan, syarikat asing berkemungkinan terus menggunakan vendor luar negara sekali gus menyebabkan limpahan ekonomi kepada pemain tempatan menjadi terhad.
Nazri berkata, Malaysia juga perlu lebih agresif membangunkan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih dipacu industri seperti model latihan ‘dual’ di Jerman yang menggabungkan pembelajaran di kolej dan latihan terus di kilang.




