KUALA LUMPUR, 22 MEI ( Harian Metro) – Bank Rakyat baru-baru ini memperkenalkan dua inisiatif digital baharu, Virtual Ar-Rahnu-i dan Pembiayaan Semula Ar-Rahnu (eOverlap), bagi mempertingkat pengalaman pelanggan melalui penyelesaian pembiayaan digital yang pantas, mudah diakses dan lebih fleksibel melalui platform laman web iRakyat.
Virtual Ar-Rahnu-i membolehkan pelanggan individu yang juga pemegang Akaun-i eGold mendapatkan tunai dengan mudah melalui platform iRakyat menggunakan simpanan emas digital sebagai cagaran.
Kemudahan ini menawarkan jumlah pembiayaan fleksibel daripada RM100 hingga RM500,000, tertakluk pada kelayakan, serta memberi kelebihan utama kepada pelanggan untuk mendapatkan tunai segera tanpa perlu menjual emas, sekali gus membolehkan mereka mengekalkan baki emas dalam Akaun-i eGold dan terus menikmati potensi kenaikan nilainya pada masa hadapan.
Manakala, inisiatif Pembiayaan Semula Ar-Rahnu (e-Overlap) menawarkan kemudahan pembiayaan semula yang membolehkan pelanggan Ar-Rahnu sedia ada mendapatkan jumlah pembiayaan yang dikemas kini berdasarkan harga emas semasa tanpa perlu hadir ke cawangan atau Ar-Rahnu X’Change.
Kemudahan ini menawarkan margin pembiayaan sehingga RM350,000 dengan had maksimum 80 peratus daripada nilai emas semasa.
“Bagi Pembiayaan Semula Ar-Rahnu (e-Overlap), sekiranya harga emas meningkat, pelanggan berpeluang memperoleh pembiayaan tambahan secara dalam talian melalui platform perbankan Internet iRakyat tanpa perlu membuat gadaian baharu atau hadir ke cawangan atau Ar-Rahnu X’Change,” menurut Bank Rakyat.
Pelaksanaan kemudahan ini adalah secara layan diri (self-service) melalui perbankan internet iRakyat yang boleh diakses pada bila-bila masa, termasuk di luar waktu operasi perbankan, tanpa memerlukan kehadiran fizikal ke cawangan atau Ar-Rahnu X’Change.
Selain menyediakan akses kepada tunai yang lebih cepat, mudah dan selamat, kedua-dua kemudahan ini turut memperkukuh fleksibiliti pelanggan dalam mengurus keperluan kewangan mereka secara lebih berkesan.




