KUALA LUMPUR,18 MEI ( Berita Harian) – Permintaan terhadap cip kecerdasan buatan (AI) serta pengekalan kadar faedah dilihat menjadi benteng utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam mendepani pelbagai cabaran pasaran global.
Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi domestik yang berterusan.
Seiring prospek ekonomi yang kekal kukuh, firma CGS International mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada kadar 4.8 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Penganalisis Ekonomi CGS International, Mas Aida Che Mansor, berkata ketahanan ekonomi negara dijangka terus dipacu oleh prestasi eksport sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).
Menurut beliau, kelebihan daya saing Malaysia akan terus disokong oleh permintaan kukuh terhadap cip semikonduktor, khususnya yang berkaitan dengan teknologi AI.
“Kekuatan berterusan dalam permintaan semikonduktor, terutamanya yang berkaitan dengan AI, dijangka akan menyokong asas eksport pada separuh pertama 2026,” katanya dalam nota penyelidikan itu.
Selain sektor semikonduktor, harga minyak dan komoditi global yang lebih tinggi juga dijangka membantu mengekalkan nilai eksport negara serta menyokong lebihan dagangan dalam tempoh terdekat.
Dari sudut domestik, kestabilan dasar monetari menerusi pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus terus dilihat sebagai faktor sokongan penting kepada pengguna dan aktiviti ekonomi.
Kedudukan OPR yang stabil, bersama pelaksanaan subsidi bersasar, dijangka mampu mengehadkan impak peningkatan kos sekali gus membantu mengekalkan permintaan tempatan.
Bagaimanapun, analisis lebih mendalam terhadap prestasi ekonomi suku pertama menunjukkan ekonomi negara sebenarnya mencatatkan penguncupan marginal sebanyak -0.01 peratus pada asas suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim.
Trend sederhana itu didorong kelemahan sektor perlombongan dan menandakan penguncupan suku tahunan pertama sejak suku keempat 2022.
Mengambil kira perubahan momentum tersebut, CGS International mengingatkan bahawa profil risiko ekonomi dijangka meningkat dan cenderung kepada penyusutan menjelang separuh kedua tahun ini.
Peningkatan inflasi serta kesan pemindahan kos pengangkutan dan logistik yang lebih tinggi berpotensi menjejaskan kuasa beli pengguna dan perbelanjaan swasta.




