KUALA LUMPUR,18 MEI (Berita Harian) – Sebanyak 788 produk dan perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang diperakui di bawah logo Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dengan nilai kira-kira RM69.7 juta berjaya menembusi perolehan kerajaan setakat ini, sekali gus membuktikan peningkatan keyakinan terhadap keupayaan teknologi buatan Malaysia.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata pencapaian itu menunjukkan inovasi tempatan bukan sahaja diiktiraf, malah semakin diterima dalam ekosistem perolehan kerajaan.
“Melalui program MySTI, produk serta perkhidmatan R&D tempatan dikenal pasti, diperakui dan disenaraikan bagi memperkukuh keyakinan terhadap teknologi buatan Malaysia khususnya dalam perolehan kerajaan. Perkara ini penting kerana setiap penyelesaian tempatan yang digunakan sektor awam bukan sekadar memenuhi keperluan operasi.
“Ia membantu membina keupayaan teknokrat tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada produk import, memperkukuh kapasiti pengeluaran teknologi negara serta mewujudkan laluan yang lebih jelas untuk inovasi berkembang daripada makmal dan prototaip kepada penggunaan sebenar,” katanya berucap merasmikan Pameran dan Pertandingan Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2026 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Norsham Abdul Latip.
MySTI merupakan program kerajaan bagi mempercepatkan penggunaan hasil R&D tempatan dalam sektor awam melalui perolehan kerajaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi import dan memperkukuh kedaulatan teknologi negara.
Barangan dan perkhidmatan yang memperoleh logo MySTI akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bermula 23 Jun tahun lalu.
Lih Kang berkata, Malaysia tidak boleh menjadi negara yang hanya menggunakan ciptaan pihak lain sebaliknya perlu membina, menguji dan mencipta teknologi sendiri di semua peringkat masyarakat.
“Negara memiliki idea, bakat dan keupayaan dalam bidang inovasi, namun perlu memastikan setiap ciptaan tidak terhenti di peringkat awal sebaliknya dibawa ke pasaran, industri dan penggunaan global.
“Kita tidak boleh menjadi negara yang hanya menggunakan apa yang orang lain cipta. Kita perlu membina, menguji dan mencipta. Ini yang perlu dilakukan di semua lapisan masyarakat,” katanya.
ITEX 2026 yang memasuki edisi ke-37 berlangsung pada 18 hingga 19 Mei, menghimpunkan lebih 1,000 ciptaan dari 17 negara dan wilayah merangkumi 10 kategori serta 15 klasifikasi.
Ia dianjurkan bersama Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S dengan tema ‘AI Unleashed: Pioneering Research and Innovation with Generative AI’, yang menekankan peranan kecerdasan buatan dalam mempercepat inovasi serta transformasi industri.
Kira-kira 70 peratus inovasi yang dipamerkan tahun ini berada pada tahap bersedia untuk dikomersialkan, termasuk pada tahap Technology Readiness Level (TRL) 6 dan ke atas, sekali gus menunjukkan potensi tinggi untuk penskalaan, pelesenan, kerjasama industri dan pelaburan.
ITEX 2026 dijangka menarik kira-kira 5,850 pengunjung termasuk pelabur, pembeli korporat, pengilang, pencari teknologi serta delegasi antarabangsa melalui program padanan perniagaan dan perbincangan komersial berstruktur.
Acara itu turut disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan acara itu dalam ekosistem inovasi negara.




