KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Bank Simpanan Nasional (BSN) terus memperkukuhkan komitmennnya dalam menyokong agenda kerajaan menerusi usaha memperkasa usahawan mikro supaya lebih berdaya tahan, kompetitif dan mampu mengembangkan perniagaan secara mampan.
Selaras dengan usaha tersebut, seramai 200 usahawan mikro menerima manfaat di bawah program ini pada Majlis Penerimaan Tawaran Inisiatif Pemerkasaan Usahawan Mikro Negeri Terengganu, di sini,semalam.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkasa usahawan mikro Terengganu menerusi pembiayaan dan geran.
Katanya, program ini menyokong empat sektor utama keusahawanan di negeri ini seperti kraftangan, pelancongan, makanan dan minuman serta pembuatan makanan.
“Usahawan juga berpeluang meningkatkan taraf keupayaan perniagaan masing-masing dengan pelbagai program pemerkasaan termasuk latihan intensif ,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Afnida Aini Alwi ; Ketua Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu, Zambre Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Datuk Azizulrahim Ahmad Zambri dan Pengarah Unit Ekonomi Negeri Terengganu, Datuk Rosli Latif.

Sementara itu, rakan pelaksana program, Speedoffice Sdn Bhd diberi tanggunjawab menjayakan latihan, bimbingan dan pementoran secara komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif Speedoffice, Haji Norlukmal Mat Ghani berkata, program selama setahun tersebut dialu-alukan pihaknya dalam usaha memperkasakan golongan usahawan terbabit.
Katanya, 200 peserta tersebut dipilih selepas beberapa saringan yang diadakan yang mana melibatkan 700 peserta pada peringkat awal
Tambahnya, sebagai anak Terengganu, pihaknya berterima kasih kepada BSN yang memilih negeri itu sekaligus memartabatkan usahawan Terengganu.
“Kami berterima kasih dan mengalu-alukan program ini. Speedoffice berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengendalikan program pembangunan keusahawan di seluruh negara.
“Kami bersyukur dan teruja apabila diberi peluang untuk berbakti di negeri sendiri dengan membantu usahawan -usahawan yang terpilih mengembangkan perniagaan,” katanya.




