KUALA LUMPUR: Persatuan PKS Malaysia berharap semua agensi berkaitan menyemak semula proses pelaksanaan dan menyediakan perlindungan lebih kukuh bagi memastikan insiden pembayaran tertunggak Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) tidak berulang.
Menurut persatuan itu, komunikasi yang jelas, pengesanan telus, akauntabiliti yang tegas serta mekanisme peningkatan tindakan yang lebih pantas perlu diwujudkan bagi melindungi keyakinan pemain industri.
Katanya, episod pembayaran tertunggak GDPM itu menjadi peringatan penting bahawa kejayaan sesuatu dasar bukan hanya bergantung kepada niat baik, sebaliknya turut memerlukan pelaksanaan yang berkesan.
“Apabila komitmen dipenuhi dan isu diselesaikan dengan segera, keyakinan antara kerajaan dan industri dapat diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan itu turut mengalu-alukan penyelesaian pembayaran GDPM yang tertunggak serta merakamkan penghargaan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo atas tindakan tegas beliau.
Penghargaan sama turut diberikan kepada Kementerian Digital, Kementerian Kewangan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) atas peranan masing-masing dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Persatuan itu mengakui penyelesaian pembayaran geran tertunggak berkenaan memberi kelegaan amat diperlukan kepada syarikat teknologi yang telah memenuhi kewajipan mereka dan menanggung beban kewangan untuk tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, katanya, isu sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyedia teknologi sudah melaksanakan perkhidmatan mereka, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha pendigitalan serta memenuhi tanggungjawab dalam program itu.
Menurutnya, kelewatan pembayaran telah memberi tekanan tidak perlu terhadap aliran tunai syarikat selain mewujudkan ketidakpastian kepada perniagaan yang bertindak dengan niat baik.
“Program geran kerajaan mesti dilaksanakan dengan akauntabiliti yang jelas, penyelarasan yang baik dan proses pembayaran yang tepat pada masanya.
“PKS dan penyedia teknologi bukan saja memerlukan pengumuman dasar, tetapi juga pelaksanaan serta penyampaian yang boleh dipercayai dalam tempoh yang dijanjikan,” katanya




